Sunday 21 September 2014

CERPEN KANAK-KANAK


Teks         :       Azaliza Salmin
Gambar    :       Carian Google

“Ibu! Danish dah besar, ibu! Danish boleh jaga diri sendiri! Ibu janganlah risau sangat! Danish dah darjah 5, ibu!” jerit Danish kepada ibunya. Rahima hanya merenung anak itu. Tidak tahu mahu berkata bagaimana lagi kepada anak sulungnya. Dia mengeluh perlahan.
            Danish menghempaskan punggungnya ke kerusi malas berhadapan dengan televisyen. Spontan dia mencapai remote control di atas meja bersebelahan dengan kerusi didudukinya, menghidupkan televisyen sambil mencari-cari siaran yang disukainya. Daniel, anak kedua Rahima hanya memerhati tingkah abangnya itu.
            Danish membatukan diri, sambil matanya tertancap ke kaca televisyen. Lagak yang ditunjukkan Danish seperti dia ingin memprotes sikap ibunya yang asyik tidak membenarkan dia melakukan apa yang ingin dilakukannya.
            ‘Aku dah besar! Aku tahu jaga diri aku! Bukan aku nak pergi jauh pun, dan bukan aku nak buat benda yang tak baik! Tapi ibu ni, itu tak boleh, ini tak boleh! Bencilah ada ibu macam ni! Nizam tu boleh je, mak dia tak marah pun!’ bisik hati kecil Danish.
            Rahima berlalu ke dapur. Otaknya ligat memikirkan apakah cara yang terbaik yang boleh dilakukan untuk menunjukkan kerisauannya yang sebenar andai memberi kebebasan sepenuhnya kepada Danish. ‘Kau baru darjah lima, nak. Kau belum cukup dewasa untuk ibu benarkan pergi sendiri,’ rintih hati kecil Rahima.  Dia masih bersabar dengan sikap yang ditunjukkan oleh Danish sebentar tadi, melawan kata-katanya sebagai ibu. Rahima sedar dia patut menunjukkan ketegasannya sebagai ibu, tetapi dalam situasi sebentar tadi, dia merasakan dia perlu beralah dengan cara berhemah kerana Danish sedang melalui peringkat tumbesaran yang memerlukan ketegasan dalam toleransi, bukan kekerasan.
            “Abang, abang nak ikut Nizam pergi perpustakaan, kan? Ibu bagi tak? Daniel nak ikut sama,” di ruang tamu rumah, Daniel berbisik kepada abangnya yang sedang tekun menonton televisyen. Danish beralih pandangan ke adiknya. “Memanglah, abang nak ajak Daniel sekali. Bukan kita nak buat apa pun, nak baca buku je di perpustakaan. Itupun ibu tak benarkan,” Danish mendengus lagi. Dia memandang adiknya yang baru darjah dua.
            “Nanti abah balik, kita ajak la abah, abang. Masa tu mesti ibu bagi kita pergi,” Daniel menambah, lurus.
            “Abang nak pergi dengan kawan-kawanlah. Bukan dengan ibu. Sesekali kita berseronoklah dengan kawan-kawan pula! Abang dah darjah lima, dah besar!” kata Danish tegas, ingin menunjukkan kepada adiknya bahawa dia memang sudah pandai jaga diri sendiri. Daniel hanya mengangguk mengiyakan.
            Malam itu, Rahima duduk bersama-sama kedua-dua anaknya serta suaminya, Johan. Dia ingin memberitahu Danish dan Daniel mengapa sebenarnya dia tidak memberi keizinan kepada mereka untuk keluar bersendirian bersama kawan-kawan tanpa ada pengawasan orang yang lebih dewasa.

           “Danish tahu tak sekarang ini banyak kes kehilangan kanak-kanak? Ada yang hilang ketika bermain, ketika berjalan bersendirian, dan ada juga yang hilang di pusat beli-belah walaupun bersama keluarga? Danish tahu tak? Ibu pernah cerita, kan?”
            “Tapi, ibu, Danish bukan pergi seorang! Danish pergi bersama Nizam dan Daniel! Nizam pasti akan bawa bersama Hilman dan Natasha! Kami nak pergi perpustakaan je, ibu! Bukankah perpustakaan tu tempat untuk membaca buku? Bukannya kami nak pergi main game!” Danish terus-menerus mempertahankan keinginannya.
            “Ibu tahu, tapi tunggulah hari minggu. Nanti ibu dan abah bawa Danish dan Daniel ke perpustakaan, bersama Nizam dan yang lain-lain ya,” Rahima cuba memujuk.
            “Dah banyak kali ibu tak benarkan Danish buat apa yang Danish nak! Dulu pun sama, tak bagi Danish pergi perpustakaan! Danish ikut je cakap ibu! Tapi sekarang, Danish dah darjah lima, ibu! Bukannya jauh sangat, dekat Jusco depan tu je!” Danish berterusan mempertahankan keinginannya.
            “Danish! Dengar cakap ibu, ya. Abah akan bawa Danish dan kawan-kawan Danish nanti pergi perpustakaan hujung minggu ini,” Johan menyampuk apabila melihat Danish seperti tidak mahu mengalah. “Danish sayang, semua keinginan Danish ibu penuhi. Danish tak mahu duduk rumah Cik Amy semasa ibu dan abah berkerja, ibu turutkan. Danish nak masuk Kelab Tae Kwan Do pun ibu turutkan. Cuma yang ini sahaja, Danish. Belum masanya lagi,” Rahima masih berusaha memujuk. Danish hanya memuncungkan mulutnya. Daniel pula hanya menjadi pemerhati.
            Keesokan harinya, Rahima dan Johan keluar berkerja seperti biasa. Sememangnya, semenjak Danish memasuki darjah lima, dia membenarkan Danish pulang ke rumah selepas habis sekolah sesi pagi, menyiapkan diri sendiri untuk ke sekolah agama pula. Itu adalah permintaan Danish sendiri, tidak mahu ke rumah pengasuh lagi. Tetapi tidak untuk Daniel. Rahima masih tidak membenarkan Daniel pulang ke rumah sendirian, justeru dia masih pulang ke rumah pengasuhnya, Cik Amy. Tetapi kala cuti sekolah, Rahima membenarkan Daniel untuk tinggal bersama-sama abangnya, tidak perlu ke rumah Cik Amy.
“Jom, Daniel. Kita pergi ke perpustakaan dekat Jusco depan tu. Nizam semua dah tunggu,” ajak Danish sambil bersiap-siap memegang kunci dan mangga untuk menutup pintu.
“Ibu marah nanti, bang,” balas Daniel.
            “Abang ada, jangan risau. Jom,” lantas Daniel hanya menuruti kehendak abangnya.
            Danish berasa gembira. Dia berasa bebas, namun dia tidak melupakan pesanan ibunya untuk selalu menjaga adiknya. Saat berjalan, tangan adiknya sentiasa diapit Danish. Dia rasa seronok berjalan bersama kawan-kawannya menuju ke perpustakaan. Sambil berjalan, mereka bercerita bersama, ketawa bersama. Danish berasa sungguh seronok.
            Sebelum sampai ke perpustakaan, lima sekawan itu ternampak lori Milo yang biasanya memberi air milo percuma. Mereka berlima menuju ke lori tersebut dengan tujuan untuk mengambil air milo percuma. Sesampai sahaja mereka ke lori tersebut,
            “Dik, nak air milo percuma?” tanya seorang lelaki. Mereka mengangguk. “Ok, masuk dalam lori ni ye. Milo ada kat dalam tu. Ada abang tengah isi dalam cawan,” sambung lelaki tadi.
Kelima-lima sekawan itu naik ke atas lori tanpa ragu-ragu. Tiba-tiba, pintu lori ditutup dari luar. Keadaan menjadi gelap. Danish, Daniel, Nizam, Hilman, dan Natasha menjerit ketakutan. Kala ini, Danish jadi panik. Dia hanya teringatkan ibunya. Segala kata-kata ibunya terngiang-ngiang di telinga. Danish takut, menyesal, dan segala macam perasaan hanya digambarkan dengan jeritan, bersatu dengan tangisan Daniel, Nizam, Hilman, dan Natasha.

            “Ibu! Tolong Danish! Tolong kami, bu!” teriak Danish menyesal.
            “Diam! Semua diam! Aku kata diam! Kalau tak, aku potong jari sorang-sorang! Nampak ni?” jerit seorang lelaki di dalam lori yang gelap itu sambil menunjukkan sebilah pisau. Kelima-lima sekawan itu ketakutan, badan mereka terhinggut-hinggut mengikut rentak lori itu yang sedang dipandu laju. Mereka masih menjerit, menangis sambil berpelukan antara satu sama lain.
            Tiba-tiba, tidak sampai lima belas minit, lori itu berhenti mengejut. Danish terpinga-pinga ketakutan sambil air mata tidak henti mengalir. Dipeluk adiknya erat. Kedengaran bunyi siren polis bertalu-talu. Danish terkejut apabila tubuhnya ditarik oleh lelaki yang bersama mereka di dalam lori itu. Pintu terbuka. Kelihatan ramai orang di sekitar kawasan itu, memerhatikan adegan yang berlaku. Polis juga ada.
            “Lepaskan kanak-kanak itu! Serah diri sekarang!” Danish terdengar amaran yang dikeluarkan oleh pihak polis melalui pembesar suara. Dia tidak mampu berbuat apa-apa. Tubuhnya diapit dengan kuat oleh lelaki itu. Dia menangis ketakutan. Dilehernya ada pisau yang diacu oleh lelaki itu. Bibir Danish tidak henti-henti menyebut nama ibunya.
            Tiba-tiba, tubuh Danish ditolak dengan kuat oleh lelaki tadi. Danish terjatuh. Dia melihat tiga orang lelaki yang membawa lori itu cuba melarikan diri, namun berjaya ditangkap oleh pihak polis. Danish bangkit mendapatkan adik dan kawan-kawannya yang turut sedang menangis ketakutan. Kelima-lima mereka kemudiannya di bawa ke balai polis berhampiran.
            Di balai polis, Danish, Daniel, Nizam, Hilman, dan Natasha duduk menanti kehadiran ibu bapa masing-masing. Mereka masih menangis kesedihan, terutama Danish. Dia sungguh tidak sabar menantikan kehadiran ibunya. Dia ingin meminta maaf kepada ibunya kerana tidak mendengar kata.
            “Ibu!” jerit Danish tatkala terlihat kelibat ibunya. Danish nampak ibunya juga sedang menangis teresak-esak. “Danish! Daniel! Anak ibu!” Rahima memeluk kedua-dua anaknya kuat. Johan juga melakukan benda yang sama. “Danish! Daniel! Ibu sayang kamu berdua, nak! Syukur kamu tidak apa-apa,” Rahima menangis sambil mengusap dan mencium kedua-dua anaknya itu.
            “Ibu! Maafkan, Danish, ibu! Danish yang salah! Danish tak dengar kata ibu! Danish takut, ibu!” Suasana pilu menyelubungi balai polis itu dengan esak tangis keluarga kelima-lima sekawan itu.
            Sejak dari peristiwa itu, Danish telah berubah menjadi anak yang lebih mendengar kata. Kini, Danish sedar, walaupun dia sudah darjah lima, belum tentu dia mampu untuk menjaga dirinya sendiri. Dia masih anak manja ibu dan abahnya. Danish berjanji kepada dirinya sendiri untuk sentiasa mendengar kata ibu dan ayahnya.

1 comment:

  1. cereka yang bagus. Tapi banyak yang perlu dibaiki. Cerpen kanak-kanak harus 'menghero'kan kanak-kanak. Tapi dalam cerpen ini, lebih banyak memihak kepada orang tua.

    Laras bahasa juga harus diturunkan lagi, menggunakan laras bahasa yang sesuai untuk kanak-kanak. Tapi saya rasa Aza sudah menemui kekuatan Aza. Cerpen kanak-kanak adalah genre yang paling sesuai buat Aza ketika ini.

    ReplyDelete