Showing posts with label Cerpen Nukilan. Show all posts
Showing posts with label Cerpen Nukilan. Show all posts

Saturday, 21 October 2017

~~deep inside~~

Teks   :    You know me, right. The owner of this blog. 

Assalammualaikum.

Pernah tak korang rasa ..hmmm, aku sendiri tak tau nak coret apa yang aku rasa. L So sad. If only life can be as happy as ***y. Hmm, or anyone else yang beruntung.
Astaghfirullahal’azim.
Nothing. Ya. Yup, memang lama aku tak update entry. Takde mood nak mencoret. Don’t know where the courage flew.
.
.
No ideas.
.
.
No heart.
.
.
Even I always felt like thousands words in my heart need to be throw out by clicking the keyboard, yet, I don’t feel the heart to jot down those feelings.
.
.
Always trust that Allah is always there. Doa. Doa. Doa.
.
.
Ya Allah. Please give me back the courage. Aamiin.


#Salam kasih sayang.


Tuesday, 26 April 2016

KEKASIH


Kekasih,
Terkadang aku terlalu mendambakanmu..
Mengharapkan dikau dan aku seperti dahulu..
Mengimpikan kebahagiaan yang kita ciptakan bersama..
Melalui hari-hari indah berdua bersama cinta kita..
Airmata ini mengalir memikirkan semua ini..
Takut akan masa depan yang tidak pasti..
Tatkala melalui semua ini, lagi dan lagi..
Mengapa, kekasih?
Mengapa begitu cetek akalmu untuk memikirkan semua itu?
Mengapa terlalu sukar untuk dikau buka mata seluas-luasnya?
Melihat semuanya dari sudut berbeza..
Menganggap apa yang dikau fikirkan itu adalah yang paling benar..
Tiada yang salah dengan apa yang dikau wasangkakan terhadap aku..
Tidakkah dikau sedar bagaimana rasanya kiranya aku perlakukan dikau sedemikian rupa?
Sentiasa wasangka dengan tingkahmu..
Mengapa tidak terdetik dihatimu untuk berfikir apa perasaan aku?
CInta paling agung….
Bantu aku, ya Allah…….

Thursday, 14 April 2016

Bisakah dia?

Terdengar bisikan syahdu
Irama senandung beralun di kalbu
Bahagia didamba
Kasih dicipta
Disemai antara paksa dan rela
Bisakah dia menggapai bahagia?
Mampukah dia mengejar ceria?
Atau semuanya hanyalah senda
Yang memaksanya untuk menerima segala
Tapi
Selama mana  mampu menginjak perkasa
Kerana dia itu semut merah nan kerdil
Tapi bisa menggigit pedih

Saturday, 26 March 2016

Pena & Tinta

Bila pena mula bertinta
Hati tak keruan entah kenapa
Ide diasak menujah minda
Namun kelam tiada bercahaya
Hati diamuk pelbagai rasa
Mengharap suatu tenangkan jiwa
Ingin diĺuah melalui pena dan tinta
Namun...mengapa....
Kau tak kunjung jua
Bagai selautan yang ingin ditumpahkan
Tapi sebutir laksana setahun lamanya
Mengapa begini?
Ke mana hilangnya?
Jauh sungguh perginya
Terasa lemas dalam kancah jiwa sendiri
Payah dilepas
Sukar mencarinya
Andai dapat ditemui
Pasti bahagia melingkari diri
Terasa bebas umpama nuri


Wednesday, 21 October 2015

--DIA--


Teks                :           Azaliza binti Salmin
Foto                :           Carian Google


Kadangkala, kehidupan ini bukan seperti yang diinginkan..segalanya bagai teka-teki, rahsia yang tak terungkap, yang memaksa diri untuk menerima semua dengan redha, seolah-olah ingin menguji sejauh mana kesabaran dan ketaatan diri sebagai hambaNya menerima qada’ dan qadar.
Sering mendengar, kadangkala terlintas di hadapan mata, bait-bait kata yang mengajak diri untuk bersabar, bina kebahagiaan dengan apa yang sedia ada, bukan dengan apa yang diharapkan.
Benar, memang benar apa yang didengar, apa yang terlintas.
Lantas, cuba, usaha untuk membina kebahagiaan sewajarnya, seperti apa yang diiyakan.
Namun, sering hatinya dicarik, diguris, mungkin tanpa sedar, tatkala kebahagiaan yang didambakan sedang usaha diterbitkan.
Bagaimana ingin bertahan? Selama mana mampu dikawal?
Dia hanya manusia biasa, yang kadangkala ingin menjadi seperti Siti Khadijah, atau mungkin sesabar suri-suri yang ada, yang pernah diuji sebegini rupa.
Kerana dia tahu, walau seberat mana yang dia hadapi, pasti ada insan lain yang lebih hebat diduga. Dia mahu kuat. Dia mahu tabah.
Tapi, dia itu hanyalah dia. Hatinya hanya mampu setakat yang ia mampu. Walau setinggi mana dia cuba untuk bertahan, walau sejauh mana dia cuba untuk bersabar, dia kalah jika hatinya tewas.



#Salam kasih sayang


Thursday, 23 October 2014

AKU DAN KAMU

Teks          :       Azaliza binti Salmin
Foto          :       Carian Google

Hati ini rasa suram je. Rasa malas je untuk melakukan sebarang perkara. Rasa boring, bosan, semua rasa yang kurang enak menjalar dalam diri ini dari pagi tadi. Hmmm.
Apa nak buat? Istighfar? Dah selalu. Sabar? Sentiasa cuba.
Bila ada rasa macam ni, semua benda yang dilakukan seperti pura-pura sahaja. Perasaan yang bermain seperti tak terluahkan. Bosanlah macam ni. Dunia umpama kosong. Apa yang berlaku di sekeliling tidak memberi apa-apa makna.
Apa yang aku nak? Aku nak kau faham! Kenapa kau tak faham-faham apa yang aku nak? Kenapa susah sangat kau nak buang keegoan kau tu! Buang sedikit je, dan aku akan balas dengan seribu satu penghargaan!
Ini, kau buat tak tahu je! Aku ni sape? Sape di sisi kau!?
Aku tahu, mentang-mentanglah aku ni senyap je. Mentang-mentanglah selama ni aku iyakan apa yang kau buat. Tak pernah sekali pun aku memberontak atas apa yang kau buat pada aku. Semua tu bersebab, kau tau tak! Bersebab!
Sebab aku tak nak keruhkan keadaan! Sebab aku masih sayangkan kau! Sebab aku masih mengharapkan kau faham apa yang aku rasa!
Tapi kau tak faham! Malah, nak cuba untuk faham pun tak pernah kau tunjukkan! Bila dah macam ni, kau buat-buat lupa apa yang berlaku. Buat-buat bagai tiada apa yang terjadi antara kita. Sedang kau tahu aku terguris! Aku pasti kau tahu itu! Tapi kau buat-buat tak tahu! Sebab apa?! EGO!
Inilah yang buat aku bosan. Kosong. Dunia bagai tiada apa bagiku.
Aku bosan.
Aku mahu terbang.
Ya! Aku mahu terbang. Bebas.

Tuesday, 21 October 2014

NENEK MENANGKAP PENCURI

Teks          :       Azaliza binti Salmin
Foto          :       Carian Google

            Pada zaman dahulu, di dalam sebuah kampung yang aman dan damai, tinggallah seorang nenek tua di dalam sebuah rumah yang kecil. Orang kampung memanggil nenek itu dengan panggilan Nek Com. Nek Com seorang yang sangat peramah dan mesra dengan sesiapa sahaja.
            Nek Com mempunyai satu tabiat yang tidak diketahui orang lain. Nek Com gemar memakan beras yang direndam semalaman. Sejak kebelakangan ini, Nek Com mendapati beras yang direndamnya sentiasa habis menjelang keesokan hari. Dia berasa sungguh pelik kerana dia hanya seorang diri di dalam rumah kecil itu. Lalu Nek Com nekad untuk memberitahu Tok Penghulu di kampung itu berkenaan beras rendamannya yang sentiasa habis sebelum sempat dia menanaknya.
            Keesokan harinya, Nek Com bersiap-siap untuk menuju ke rumah Tok Penghulu. Dia harus melalui sungai, hutan, dan sawah untuk sampai ke rumah Tok Penghulu. Sambil berjalan, Nek Com bernyanyi-nyanyi untuk menghiburkan hati.
            Nek Com tiba di sebatang anak sungai. Tiba-tiba, dia disapa dengan seekor ikan keli.


            “Nenek, nenek. Nenek hendak ke mana?” kata seekor ikan keli.
            “Nenek hendak ke rumah Tok Penghulu, cu. Ada orang selalu habiskan beras yang nenek rendam untuk nenek masak,” jawab Nek Com.
            “Iya ke, nek? Kasihan sungguh, nenek,” ikan keli itu menyambung kata. Nek Com hanya tersenyum. “Nenek, nenek. Nanti sewaktu nenek hendak pulang ke rumah nenek, jangan lupa untuk membawa saya bersama, ya nenek.”
            “Baiklah,cu,” Nek Com mengangguk lalu meneruskan perjalanan.
            Selepas merentasi anak sungai, Nek Com perlu melalui sebuah hutan. Dia berjalan perlahan-lahan dengan tongkatnya. Apabila tiba di sabatang pokok durian, Nek Com disapa pula oleh sebiji buah durian yang telah gugur.
            “Wahai nenek yang budiman, hendak ke mana pula gerangan nenek melalui hutan yang agak membahayakan ini?”
            “Nenek hendak pergi ke rumah Tok Penghulu,cu. Ada orang yang telah memakan beras yang nenek rendam semalaman. Nenek hendak Tok Penghulu tolong carikan siapa yang memakannya itu,” jawab Nek Com kepada buah durian itu.
            “Oh, begitu. Saya ingin ikut nenek balik ke rumah. Nanti sewaktu balik, nenek jangan lupa membawa saya bersama ya,” kata buah durian itu. Nek Com tersenyum sambil mengangguk.
            Nek Com meneruskan perjalanan. Dia menyusuri sebidang sawah yang sedang menguning padinya. Nek Com melepasi kawanan lembu yang sedang berkubang di tepi sawah. Seperti ikan keli dan buah durian, Nek Com ditegur oleh seekor lembu jantan yang kemudiannya meminta untuk dibawa pulang bersama ke rumah Nek Com.


            Matahari telah agak meninggi ketika Nek Com tiba di rumah Tok Penghulu. Tetapi, hampa sungguh rasa di hati Nek Com. Tok Penghulu tiada di rumah. Dia dan keluarganya keluar ke pekan. Nek Com pun pulang ke rumah dengan hati yang lara.
            Tiba-tiba, Nek Com terdengar satu suara memanggilnya. Suara itu datang dari bangsal bersebelahan rumah Tok Penghulu.
            “Oh, kau parang. Ada apa kau panggil nenek?” Tanya Nek Com sambil menghampiri parang yang terletak elok di para bangsal.
            “Nenek ada apa mencari Tok Penghulu?”
            “Nenek hendak minta tolong Tok Penghulu carikan siapakah orang yang selalu memakan beras yang nenek rendam semalaman. Hampa sungguh nenek apabila melihat tiada siapa di rumah Tok Penghulu,” jawab Nek Com hiba.
            “Nenek, bawalah saya pulang bersama nenek. Saya ingin mengikut nenek,” kata sebilah parang itu. Lalu, Nek Com membungkus parang itu di dalam kain dan membawanya bersama pulang menuju ke rumahnya. Sepanjang perjalanan pulang, Nek Com tidak lupa kepada lembu, buah durian, dan juga ikan keli yang meminta Nek Com untuk membawa mereka juga pulang bersama.
            Menjelang tengah malam, si pencuri masuk ke dalam rumah Nek Com dengan berhati-hati untuk tidak mengeluarkan sebarang bunyi. Dia berjalan perlahan-lahan ke meja di mana Nek Com meletakkan periuk berisi beras yang direndam. Si pencuri itu memasukkan tangannya seperti biasa ke dalam periuk itu untuk mengambil beras yang Nek Com rendam.
            Tiba-tiba!
            “Arghhh! Adui!” si pencuri itu menjerit kesakitan. Tangannya telah disengat ikan keli! Dia tidak dapat menahan kesakitannya lalu jatuh terduduk ke lantai. Malang sungguh si pencuri itu.
            “Sakitnya punggung aku!” si pencuri itu menjerit lagi sambil bingkas bangun apabila merasakan punggungnya perit terdudukkan buah durian. Dia tidak dapat menahan sakit bisa di jari akibat sengatan ikan keli, ditambah pula pedihnya punggung dek terdudukkan buah durian. Si pencuri itu cuba untuk melarikan diri, namun sewaktu melangkah ke luar pintu rumah Nek Com, kakinya tersadung pula parang yang diletakkan di tepi pintu rumah Nek Com. Darah mula merembes keluar dari kaki si pencuri itu.
            “Arghhhh!” si pencuri menjerit kesakitan. Malang bertimpa, akibat tersadung parang, si pencuri itu jatuh lalu mukanya tersembam di atas segumpal tahi lembu. Si pencuri sudah tidak berdaya lagi. Tangan yang bisa akibat sengatan ikan keli, punggung yang pedih akibat tusukan duri buah durian, kaki yang berdarah kerana tersadung parang, dan muka yang dipenuhi tahi lembu!
            Keesokan paginya, Nek Com amat terkejut sekali apabila melihat seorang lelaki sedang terbaring di hadapan rumahnya. Tahulah Nek Com kini bahawa lelaki itulah yang selalu memakan beras yang direndamnya. Nek Com sangat berterima kasih kepada ikan keli, buah durian, lembu, dan juga parang kerana menolongnya dalam mencari siapakah yang memakan beras rendamannya. Nek Com membawa si pencuri itu ke rumah Tok Penghulu untuk dihukum.
            Sejak hari itu, tiada lagi pencuri yang memakan beras rendaman Nek Com. Nek Com berasa sangat gembira.
           

Thursday, 25 September 2014

~~SAHABAT~~


Teks       :       Azaliza Salmin
Foto       :       Mr. Google

Sahabat.......
Saat ini, aku kehibaan. Merawati lukaku sendirian. Kesedihan yang melanda diriku tidak terluahkan. Aku benar-benar kesedihan. Kau, yang bernama sahabat, entah di mana. Kau, sahabatku yang dulu denganku, entah di mana.
Aku.......
Tidak mahu tenggelam berpanjangan dalam kehibaan ini. Kerana aku merasakan aku kini sendirian. Lantas, aku tidak mahu menjebakkan diriku di dalam kesedihan yang tidak bertepian ini. Aku harus gagah bengkit, meski berseorangan kini.
Kita.......
Suatu waktu dulu sentiasa bersama. Berkongsi segala duka, semua kegembiraan bersama-sama. Kau sentiasa menyokongku, memberi semangat untukku, membuka mata setiap insan di sekeliling kita untuk melihat kebolehanku, yang selama ini terpendam, tak terlihatkan dek kerana peluang yang tidak diberikan kepadaku. Kau, sahabat! Kau yang membuat aku menonjolkan kebolehanku di depan semua.
Tapi kini.......
Aku tak pasti mengapa kita jadi begini. Tak pasti mengapa kau berubah sedemikian cara. Mengapa tergamak kau melukai hati ini, meski bagimu ia biasa-biasa sahaja. Mungkin bagimu aku bisa menerima. Mungkin bagimu itu hanya biasa-biasa sahaja. Namun, aku benar-benar terluka.
Biarlah.......
Andai itu bisa membuatmu bahagia, aku redha. Andai itu kau anggap biasa-biasa sahaja, aku terima. Kerana aku tidak mahu mengeruhkan hubungan persahabatan kita. Aku tahu kau sedang bahagia. Aku tahu kau sedang dilanda seribu macam kegembiraan. Biarlah kau sentiasa ceria, kerana melihat kau begitu, aku bahagia. Meski terkadang tingkahmu, baris kata mu, menusuk jauh ke dalam hatiku bak sembilu.

Sahabat.......
Andai aku yang terlalu banyak terasa sedang kau tidak memaksudkan apa-apa, biarlah kusembuhkan lukaku sendiri. Biarlah kupendam semua rasa ini sendiri. Kerana walau tiada engkau lagi yang dulu di sisiku, Dia masih sentiasa ada bersamaku. Apabila aku sentiasa mengingat pada-Nya, menyebut nama-Nya, aku tahu Dia sentiasa ada denganku.

Sunday, 21 September 2014

CERPEN KANAK-KANAK


Teks         :       Azaliza Salmin
Gambar    :       Carian Google

“Ibu! Danish dah besar, ibu! Danish boleh jaga diri sendiri! Ibu janganlah risau sangat! Danish dah darjah 5, ibu!” jerit Danish kepada ibunya. Rahima hanya merenung anak itu. Tidak tahu mahu berkata bagaimana lagi kepada anak sulungnya. Dia mengeluh perlahan.
            Danish menghempaskan punggungnya ke kerusi malas berhadapan dengan televisyen. Spontan dia mencapai remote control di atas meja bersebelahan dengan kerusi didudukinya, menghidupkan televisyen sambil mencari-cari siaran yang disukainya. Daniel, anak kedua Rahima hanya memerhati tingkah abangnya itu.
            Danish membatukan diri, sambil matanya tertancap ke kaca televisyen. Lagak yang ditunjukkan Danish seperti dia ingin memprotes sikap ibunya yang asyik tidak membenarkan dia melakukan apa yang ingin dilakukannya.
            ‘Aku dah besar! Aku tahu jaga diri aku! Bukan aku nak pergi jauh pun, dan bukan aku nak buat benda yang tak baik! Tapi ibu ni, itu tak boleh, ini tak boleh! Bencilah ada ibu macam ni! Nizam tu boleh je, mak dia tak marah pun!’ bisik hati kecil Danish.
            Rahima berlalu ke dapur. Otaknya ligat memikirkan apakah cara yang terbaik yang boleh dilakukan untuk menunjukkan kerisauannya yang sebenar andai memberi kebebasan sepenuhnya kepada Danish. ‘Kau baru darjah lima, nak. Kau belum cukup dewasa untuk ibu benarkan pergi sendiri,’ rintih hati kecil Rahima.  Dia masih bersabar dengan sikap yang ditunjukkan oleh Danish sebentar tadi, melawan kata-katanya sebagai ibu. Rahima sedar dia patut menunjukkan ketegasannya sebagai ibu, tetapi dalam situasi sebentar tadi, dia merasakan dia perlu beralah dengan cara berhemah kerana Danish sedang melalui peringkat tumbesaran yang memerlukan ketegasan dalam toleransi, bukan kekerasan.
            “Abang, abang nak ikut Nizam pergi perpustakaan, kan? Ibu bagi tak? Daniel nak ikut sama,” di ruang tamu rumah, Daniel berbisik kepada abangnya yang sedang tekun menonton televisyen. Danish beralih pandangan ke adiknya. “Memanglah, abang nak ajak Daniel sekali. Bukan kita nak buat apa pun, nak baca buku je di perpustakaan. Itupun ibu tak benarkan,” Danish mendengus lagi. Dia memandang adiknya yang baru darjah dua.
            “Nanti abah balik, kita ajak la abah, abang. Masa tu mesti ibu bagi kita pergi,” Daniel menambah, lurus.
            “Abang nak pergi dengan kawan-kawanlah. Bukan dengan ibu. Sesekali kita berseronoklah dengan kawan-kawan pula! Abang dah darjah lima, dah besar!” kata Danish tegas, ingin menunjukkan kepada adiknya bahawa dia memang sudah pandai jaga diri sendiri. Daniel hanya mengangguk mengiyakan.
            Malam itu, Rahima duduk bersama-sama kedua-dua anaknya serta suaminya, Johan. Dia ingin memberitahu Danish dan Daniel mengapa sebenarnya dia tidak memberi keizinan kepada mereka untuk keluar bersendirian bersama kawan-kawan tanpa ada pengawasan orang yang lebih dewasa.

           “Danish tahu tak sekarang ini banyak kes kehilangan kanak-kanak? Ada yang hilang ketika bermain, ketika berjalan bersendirian, dan ada juga yang hilang di pusat beli-belah walaupun bersama keluarga? Danish tahu tak? Ibu pernah cerita, kan?”
            “Tapi, ibu, Danish bukan pergi seorang! Danish pergi bersama Nizam dan Daniel! Nizam pasti akan bawa bersama Hilman dan Natasha! Kami nak pergi perpustakaan je, ibu! Bukankah perpustakaan tu tempat untuk membaca buku? Bukannya kami nak pergi main game!” Danish terus-menerus mempertahankan keinginannya.
            “Ibu tahu, tapi tunggulah hari minggu. Nanti ibu dan abah bawa Danish dan Daniel ke perpustakaan, bersama Nizam dan yang lain-lain ya,” Rahima cuba memujuk.
            “Dah banyak kali ibu tak benarkan Danish buat apa yang Danish nak! Dulu pun sama, tak bagi Danish pergi perpustakaan! Danish ikut je cakap ibu! Tapi sekarang, Danish dah darjah lima, ibu! Bukannya jauh sangat, dekat Jusco depan tu je!” Danish berterusan mempertahankan keinginannya.
            “Danish! Dengar cakap ibu, ya. Abah akan bawa Danish dan kawan-kawan Danish nanti pergi perpustakaan hujung minggu ini,” Johan menyampuk apabila melihat Danish seperti tidak mahu mengalah. “Danish sayang, semua keinginan Danish ibu penuhi. Danish tak mahu duduk rumah Cik Amy semasa ibu dan abah berkerja, ibu turutkan. Danish nak masuk Kelab Tae Kwan Do pun ibu turutkan. Cuma yang ini sahaja, Danish. Belum masanya lagi,” Rahima masih berusaha memujuk. Danish hanya memuncungkan mulutnya. Daniel pula hanya menjadi pemerhati.
            Keesokan harinya, Rahima dan Johan keluar berkerja seperti biasa. Sememangnya, semenjak Danish memasuki darjah lima, dia membenarkan Danish pulang ke rumah selepas habis sekolah sesi pagi, menyiapkan diri sendiri untuk ke sekolah agama pula. Itu adalah permintaan Danish sendiri, tidak mahu ke rumah pengasuh lagi. Tetapi tidak untuk Daniel. Rahima masih tidak membenarkan Daniel pulang ke rumah sendirian, justeru dia masih pulang ke rumah pengasuhnya, Cik Amy. Tetapi kala cuti sekolah, Rahima membenarkan Daniel untuk tinggal bersama-sama abangnya, tidak perlu ke rumah Cik Amy.
“Jom, Daniel. Kita pergi ke perpustakaan dekat Jusco depan tu. Nizam semua dah tunggu,” ajak Danish sambil bersiap-siap memegang kunci dan mangga untuk menutup pintu.
“Ibu marah nanti, bang,” balas Daniel.
            “Abang ada, jangan risau. Jom,” lantas Daniel hanya menuruti kehendak abangnya.
            Danish berasa gembira. Dia berasa bebas, namun dia tidak melupakan pesanan ibunya untuk selalu menjaga adiknya. Saat berjalan, tangan adiknya sentiasa diapit Danish. Dia rasa seronok berjalan bersama kawan-kawannya menuju ke perpustakaan. Sambil berjalan, mereka bercerita bersama, ketawa bersama. Danish berasa sungguh seronok.
            Sebelum sampai ke perpustakaan, lima sekawan itu ternampak lori Milo yang biasanya memberi air milo percuma. Mereka berlima menuju ke lori tersebut dengan tujuan untuk mengambil air milo percuma. Sesampai sahaja mereka ke lori tersebut,
            “Dik, nak air milo percuma?” tanya seorang lelaki. Mereka mengangguk. “Ok, masuk dalam lori ni ye. Milo ada kat dalam tu. Ada abang tengah isi dalam cawan,” sambung lelaki tadi.
Kelima-lima sekawan itu naik ke atas lori tanpa ragu-ragu. Tiba-tiba, pintu lori ditutup dari luar. Keadaan menjadi gelap. Danish, Daniel, Nizam, Hilman, dan Natasha menjerit ketakutan. Kala ini, Danish jadi panik. Dia hanya teringatkan ibunya. Segala kata-kata ibunya terngiang-ngiang di telinga. Danish takut, menyesal, dan segala macam perasaan hanya digambarkan dengan jeritan, bersatu dengan tangisan Daniel, Nizam, Hilman, dan Natasha.

            “Ibu! Tolong Danish! Tolong kami, bu!” teriak Danish menyesal.
            “Diam! Semua diam! Aku kata diam! Kalau tak, aku potong jari sorang-sorang! Nampak ni?” jerit seorang lelaki di dalam lori yang gelap itu sambil menunjukkan sebilah pisau. Kelima-lima sekawan itu ketakutan, badan mereka terhinggut-hinggut mengikut rentak lori itu yang sedang dipandu laju. Mereka masih menjerit, menangis sambil berpelukan antara satu sama lain.
            Tiba-tiba, tidak sampai lima belas minit, lori itu berhenti mengejut. Danish terpinga-pinga ketakutan sambil air mata tidak henti mengalir. Dipeluk adiknya erat. Kedengaran bunyi siren polis bertalu-talu. Danish terkejut apabila tubuhnya ditarik oleh lelaki yang bersama mereka di dalam lori itu. Pintu terbuka. Kelihatan ramai orang di sekitar kawasan itu, memerhatikan adegan yang berlaku. Polis juga ada.
            “Lepaskan kanak-kanak itu! Serah diri sekarang!” Danish terdengar amaran yang dikeluarkan oleh pihak polis melalui pembesar suara. Dia tidak mampu berbuat apa-apa. Tubuhnya diapit dengan kuat oleh lelaki itu. Dia menangis ketakutan. Dilehernya ada pisau yang diacu oleh lelaki itu. Bibir Danish tidak henti-henti menyebut nama ibunya.
            Tiba-tiba, tubuh Danish ditolak dengan kuat oleh lelaki tadi. Danish terjatuh. Dia melihat tiga orang lelaki yang membawa lori itu cuba melarikan diri, namun berjaya ditangkap oleh pihak polis. Danish bangkit mendapatkan adik dan kawan-kawannya yang turut sedang menangis ketakutan. Kelima-lima mereka kemudiannya di bawa ke balai polis berhampiran.
            Di balai polis, Danish, Daniel, Nizam, Hilman, dan Natasha duduk menanti kehadiran ibu bapa masing-masing. Mereka masih menangis kesedihan, terutama Danish. Dia sungguh tidak sabar menantikan kehadiran ibunya. Dia ingin meminta maaf kepada ibunya kerana tidak mendengar kata.
            “Ibu!” jerit Danish tatkala terlihat kelibat ibunya. Danish nampak ibunya juga sedang menangis teresak-esak. “Danish! Daniel! Anak ibu!” Rahima memeluk kedua-dua anaknya kuat. Johan juga melakukan benda yang sama. “Danish! Daniel! Ibu sayang kamu berdua, nak! Syukur kamu tidak apa-apa,” Rahima menangis sambil mengusap dan mencium kedua-dua anaknya itu.
            “Ibu! Maafkan, Danish, ibu! Danish yang salah! Danish tak dengar kata ibu! Danish takut, ibu!” Suasana pilu menyelubungi balai polis itu dengan esak tangis keluarga kelima-lima sekawan itu.
            Sejak dari peristiwa itu, Danish telah berubah menjadi anak yang lebih mendengar kata. Kini, Danish sedar, walaupun dia sudah darjah lima, belum tentu dia mampu untuk menjaga dirinya sendiri. Dia masih anak manja ibu dan abahnya. Danish berjanji kepada dirinya sendiri untuk sentiasa mendengar kata ibu dan ayahnya.

Wednesday, 23 April 2014

~~~ Ramadhan Ini (Part II) ~~~

Teks       :   Ramadhan Ini (Part II)
Gambar  :   Carian Google

Hari-hari seterusnya aku lalui seperti biasa di rumah ibu bapa Hazril. Namun, sayu dihati sentiasa menjalar disanubariku, mengenangkan tergamaknya aku sebagai seorang anak memperlakukan kedua ibu bapa yang paling aku sayangi sebegini rupa. Tapi, apa yang mampu aku lakukan?
            ‘Terlajak perahu boleh di undur, terlajak kata badan binasa’.
Aku memang sudah terlalu jauh terlajak, yang memang tidak boleh di undur kala ini. Apa yang ada di fikiranku, aku perlu melahirkan anak ini, barulah aku boleh rencanakan apa yang perlu aku lakukan untuk memperbaiki kehidupan ini yang kurasakan telah kucar-kacir angkara diriku sendiri.
            “Ya Allah, Kau tunjukkanlah jalan padaku,” aku merintih kesayuan.

Hidup bersama orang tua Hazril, aku rasa amat janggal sekali. Ibunya bagiku, seperti talam dua muka. Saat Hazril ada bersama, aku dilayannya seperti anak sendiri. Tapi, apabila Hazril pulang ke Kuala Lumpur untuk bekerja, dan aku sendirian di rumah orang tuanya, ada sahaja karenah ibunya yang bagiku, sangat menyakitkan. Dia seolah-olah selalu menyindir atas perbuatan keji yang telah aku lakukan. Padahal, anak lelakinya yang membuat aku jadi begini, bersama-samaku melakukan onar. Mengapa tidak dihamburkan kepada anak lelakinya juga? Aku jadi sedih. Inikah jalan yang perlu aku tempuhi, yang perlu aku lalui untuk 9 bulan sementara kandunganku ini membesar? Aku jadi rimas. Namun, untuk bertekak dengannya, belum lagi. Aku masih menjaga adabku terhadap orang yang lebih tua.

            “Aina, pulang ke rumah ibu,nak. Hal ini perlu diselesaikan cepat, sementara kandungan Aina belum terlalu nampak. Aina pulang ya,” rayu ibu. Hari tu, aku menerima panggilan daripada ibu yang amat kurindui. Sungguh, airmata ini tidak henti mengalir kala mendengar suara ibu di corong telefon.
            “Aina takut. Aina malu, ibu,” aku keesakan. Benar! Aku malu dengan ibu dan ayahku. Malu dengan apa yang telah aku lakukan.
            “Balik, nak. Tiada siapa akan marah. Tolonglah balik. Ibu dan ayah perlu selesaikan hal ini dengan ibu bapa Hazril,” rayu ibu lagi. Aku terdiam dalam esakan. Ya, perkara ini perlu diselesaikan. Aku harus memikirkan untuk diriku sendiri.

            “Hazril, tolong hantar Aina pulang,” pintaku.
            “Hmm..Aina hendak pulang? Tak takut ibu dan ayah Aina marah?” balas Hazril. Mengapa pula dia harus berfikiran seperti itu? Bukankah dia sudah tahu yang ibu dan ayahku telah mengetahui tentang perkara ini? Tidak terfikirkah Hazril yang perkara ini perlu diselesaikan secepat mungkin?
            “Hazril, perkara ni perlu diselesaikan kata ibu.”
            “Selesaikan macam mana?” tanya Hazril lagi. Kami berhubung melalui telefon setiap hari. Aku yang mendesaknya untuk menghubungiku saban waktu kerana aku bosan berseorangan di rumah orang tuanya.
            “Hazril, takkanlah nak biarkan kandungan Aina membesar tanpa status? Takkan nak biarkan Aina di rumah Hazril sepanjang masa? Mungkin, ibu ada perkara yang ingin dibincangkan bersama. Tolong hantar Aina pulang,” desahku. Hazril kudengar hanya mendengus kecil sebelum bersuara.
            “Baiklah. Hujung minggu ni abang balik,”
           
            “Benda sudah terjadi, nak marah pun tiada guna. Budak-budak mudalah katakan.”
            “Iya, memang benar tu, Pn. Rosnah. Tetapi, sepatutnya yang lelaki menjaga maruah si perempuan, kalau benarlah dia sayang dan ingin hidup bersamanya.”
            “Yang si perempuan juga sepatutnya tahu jaga diri sendiri! Mudah sangat menyerahkan segala-galanya! Orang tua tidak ajarkah?”
           
Dasss! Aku menjeling wajah ibu dan ayahku. Tergamak ibu Hazril berkata begitu kepada kedua orang tuaku. Kalau nak salahkan aku pun, janganlah sampai seolah-olah membela anak sendiri. Apa dia ingat anaknya tidak boleh dipersalahkan? Hatiku jadi membara melihat pertelingkahan kecil antara ibuku dan ibu Hazril, sementelah ayah hanya mendiamkan diri, menahan sabar, mungkin. Hazril disebelahku juga hanya mendiamkan diri. Hazril hanya datang ke rumahku bersama ibunya sahaja. Ayah Hazril tidak mahu ikut serta dengan alasan rumahku jauh. Itu katanya.
            Suasana hening seketika. Aku kasihan melihat ibuku. Dek kerana nafsu aku sendiri, ibu dan ayah terpaksa menerima tohmahan dari bakal besan mereka. Hati ini bagai disiat-siat melihatkan sikap ibu Hazril. Inikah sikap ibunya yang sebenar? Entah, aku tidak tahu. Aku memang tidak tahu, kerana sepanjang aku berkawan, bercinta dengan Hazril, aku akui memang pernah ke rumahnya. Tetapi, tidak terlalu kerap, dan ibunya ketika itu aku rasakan seperti ibu-ibu lain yang melayan kawan-kawan anaknya seperti biasa sahaja. Aku jadi keliru. Hati ini tidak dapat menggambarkan apa yang bermain di fikiran.

            “Macam inilah sahaja,” ayah bersuara tiba-tiba. “Usahlah kita bergaduh. Memang benar, benda sudah terjadi. Kedua-dua pihak bersalah, jangan kita saling menuding jari. Apapun yang telah terjadi, harus diselesaikan juga, tidak boleh dibiarkan begitu sahaja,” kulihat ayah berkata dengan tenangnya.
            “Akad nikah harus dijalankan secepat yang boleh. Kita uruskan seperti kita menguruskan sebuah perkahwinan, tiada beza, kerana itulah yang seharusnya berlaku sekarang...”
            “Merisik, bertunang, segala tu semua sudah tidak perlu lagi. Kalau itu semua pun nak dilangsungkan, makin membuncitlah perut tu,” ibu Hazril membidas kata-kata ayahku. Mata dan mulutnya terus memandang ke perutku. Aku rasa seperti dihina. Aku menoleh ke arah Hazril. Dia hanya membuat muka bersahaja. Aku tahu, dia juga mungkin tidak tahu mahu berkata atau berbuat apa.
            Ibuku tiba-tiba bangun dan berlalu ke dapur, membiarkan perbincangan itu diteruskan antara ayah dan ibu Hazril sahaja. Ibu sedih, telahku. Mungkin. Ya, ayah telah mendidik ibu menjadi sebaik-baik insan, untuk bersabar dengan sebarang kerenah manusia. Mungkin ibu ingin menahan diri dan bertengkar semula dengan ibu Hazril. Mungkin.
            “Ya, Puan Rosnah. Tidak perlu merisik dan bertunang. Kita akad nikah sahaja. Majlis perkahwinan di pihak perempuan juga akan dilangsungkan. Tak tahulah pula di pihak lelaki bagaimana,” ayah menjawab setenang mungkin. Ibu Hazril hanya mendesah sambil membetulkan tempat duduknya.
            “Cuma saya minta, akad nikah dijalankan di rumah pihak lelaki,” ayah menambah, sayu. Ibu Hazril kulihat tersenyum sumbing sambil mengangguk seadanya.
            Aku faham mengapa ayah ingin akad nikah diadakan di rumah Hazril. Ya, status ayah sebagai orang yang dikenali di kawasan kejirananku membuat ayah malu untuk menikahkan aku di sini, masih cuba untuk merahsiakan kehamilanku sekiranya akad nikah diadakan secara tergesa-gesa. Pasti jiran-jiranku akan bertanya, risik tiada, tunang tiada, tiba-tiba menikah. Tidakkah itu seolah-olah ingin memberitahu semua bahawa aku sudah mengandung! Aku akur, kerana aku yang bersalah.

            Dua hari Hazril dan ibunya berada di rumahku, bersahur dan berbuka bersama-sama kami. Sepanjang mereka berada di rumahku, hubungan yang ingin dijalinkan antara ibuku dan ibu Hazril begitu hambar kurasakan. Ibu Hazril dengan sikapnya, manakala ibuku tetap berusaha untuk melayan tetamunya itu sebaik mungkin. Aku hanya dapat berdoa agar ibuku dapat menerima Hazril dan keluarganya seadanya mereka, walaupun aku akui bahawa aku sendiri agak terkilan dengan sikap yang ditunjukkan oleh ibu Hazril.

            Usai perbincangan antara ayahku dan ibu Hazril dua hari lepas, kedua-dua belah pihak telah memutuskan untuk mengadakan majlis akad nikah di rumah orang tua Hazril di Melaka. Majlis kenduri kecil juga akan diadakan selepas akad nikah dijalankan, namun tiada majlis persandingan, itu kata ibu Hazril. Perkara yang berlaku katanya seperti terlalu tiba-tiba, dia tidak mahu menanggung risiko untuk mengadakan majlis persandingan secara tergesa-gesa. Cukuplah kenduri kecil menjemput saudara-mara dan jiran tetangga sahaja.
            Manakala di pihakku pula, majlis persandingan akan dilangsungkan seminggu selepas majlis akad nikah di rumah Hazril. Semua ini akan berlaku sebulan dari tarikh hari perbincangan itu. Itu permintaan ayahku, kerana dia tidak mahu melewat-lewatkan urusan akad nikah, sementelah aku asyik bersama Hazril sahaja, lebih baik dinikahkan terus daripada berterusan membuat dosa.

            Dalam masa sebulan sebelum tarikh akad nikahku, ibu bertindak sewajarnya, menempah baju pengantin untukku, katering untuk urusan makan minum sepanjang majlis berlangsung, mak andam, pelamin, hantaran, dan segala macam benda lagi selayaknya untuk mengadakan sebuah majlis persandingan. Aku membantu mana yang termampu, menurut segala kehendak ibu tanpa sebarang bantahan, kerana bagiku, asalkan apa yang ibu buat itu memang patut dilakukan untuk menyelamatkan nama baik keluargaku, aku akur. Aku tidak mahu cerewet memilih itu ini seperti benar-benar seorang dara ingin menamatkan zaman bujangnya. Kerana aku tahu, aku tidak layak untuk bertindak seperti itu. Jadinya, aku menurut sahaja apa yang difikirkan elok oleh ibuku.
            Sepanjang masa itu juga, aku tidak berhubung dengan Hazril. Itu permintaan ibu dan ayahku.
            “Bersabarlah, Aina. Kamu akan bersatu dalam masa sebulan sahaja lagi. Jadi ayah minta kamu agar bersabar sedikit sahaja lagi,” aku jadi malu yang teramat kala ayah meluahkan kata itu. Namun, aku akur dengan permintaan ayah. Hazril juga memahami.

            Sepanjang aku lalui masa-masa sebelum hari akad nikahku menjelma, aku berlagak seperti biasa shaja. Bermain bersama adikku, Nina, menjawab segala pertanyaan sahabatku ketika aku berkerja di klinik dahulu, walaupun amat payah untuk aku berbohong kerana aku tidak tahu mahu beri alasan bagaimana, yang mampu menutup segala perbuatanku. Aku hanya khabarkan kepada mereka, aku terpaksa berhenti serta-merta atas alasan sepupuku meminta aku menemaninya selama waktu dia berpantang. Ah! Lantak kau oranglah mahu percaya atau tidak!
            Namun hati ini tidak pasti sama ada gembira atau tidak, teruja ataupun tidak sabar untuk menjadi isteri Hazril. Bukankah ini yang aku mahukan? Setelah apa yang telah terjadi, aku seharusnya gembira kerana akan disatukan dengan kekasih hatiku. Aku akan dapat melalui hari-hari bersamanya, makan bersamanya, minum berdua, dan yang pasti tidur pun bukan berseorangan lagi. Bukan kah itu yang aku mahukan??!
            ‘Hentikan pernikahan ini, Aina! Kau sanggup bermentuakan orang seperti ibu Hazril itu? Hentikan, Aina! Hentikan! Nanti kelak kau yang merana!’ Syaitan berterus-terusan membakar hatiku dengan api dendam. Memaksaku untuk berada dalam jurang kebingungan yang paling dalam. Membuntukan fikiranku. Mengingatkan kembali segala sikap dengkel ibu Hazril terhadapku selama aku di rumahnya dan ketika pertelingkahan antara ibuku dan ibu Hazril. Syaitan tidak jemu-jemu menghasutku, membuat aku jadi nanar.

            ‘Astaghfirullahhal’azim,’ aku beristighar berulang-ulang kali. Tidak! Tidak mungkin aku akan mengulangi kesilapan yang akan memalukan kedua orang tuaku lagi. Kini, aku pasti, apa yang ibu dan ayah aturkan adalah yang terbaik untukku. Ya! Jahanam kau, syaitan! Tidak akan aku goyah lagi dengan hasutanmu!
           
Kini, aku harus bangkit menjadi insan yang bertaqwa. Aku perlu nekad untuk memperbaiki diri ini demi ibu dan ayahku. Aku harus kuat melawan segala dugaan dan godaan syaitan.
            Ibu! Ayah! Doakan Aina!

Sunday, 13 April 2014

Ramadhan Ini ~~~

Teks       : Cerpen Mengikut Bulan
Gambar  : Carian Google


Aku memandang perutku sambil mengusapnya perlahan. Aku terdiam seketika, tidak tahu apa yang hendak aku fikirkan. “Memang ada benda dalam perut aku ni”, bisikku antara dengar atau tidak.
Setelah siap melunaskan hajat, aku menapak keluar untuk menyambung kerja. Aku baru bekerja di sebuah klinik yang terletak bersebelahan dengan kawasan tempat tinggalku. Baru dua minggu.
“Abang…dalam perut ni adalah benih cinta kita..abang jangan abaikan Aina,” aku berbisik kecil, teringatkan kekasih hatiku. Di dalam hati ini tiada rasa yang timbul. Takut, marah, semuanya tiada.

Aku meneruskan hari-hariku seperti biasa, bekerja seperti biasa, bergaul bersama-sama teman seperti biasa, langsung tidak memikirkan apa yang akan dilakukan, apa yang bakal terjadi kepada diriku. Seperti tiada apa-apa yang berlaku. Aku hanya menunggu buah hatiku. Itu sahaja. Apa yang pasti, mereka di sekelilingku tidak menyedari bahawa perutku semakin membesar. Mungkin kerana saiz badanku yang kecil, dan mungkin kerana ini kandungan pertamaku. Mungkin, kerana aku pernah mendengar orang kata, kalau mengandung anak petama, biasanya seperti tidak mengandung. Entahlah, bergantung kepada orang, mungkin.  

Aku termenung sendiri. Esok, puasa akan aku teruskan seperti biasa. Tadi pun, aku pergi ke masjid untuk solat terawih bersama ibu. Ibu juga seperti biasa. Tidak mengesyaki apa-apa, sementelah diriku sendiri seperti tiada perubahan terutama pada perut. Walhal, aku sahaja yang tahu perutku berisi janin, benih cinta antara aku dan Hazril, yang aku sendiri tidak dapat mengagak berapa usia kandunganku itu.

“Aina jangan risau ye, sayang. Esok abang datang jumpa Aina,” Hazril memujuk di dalam telefon. Aku mencintainya setulus hatiku. Dengan dia, aku serahkan segala milikku tanpa ragu. Entahlah, aku pun tidak tau mengapa aku semudah itu memberi. Tidak terfikirkah aku akan ibu? Akan wali ku, ayah? Aku memang tidak tahu. Apa yang aku tahu, aku menurut sahaja kehendak Hazril.
            “Bulan Ramadhan, bulan yang berkat..
               Bulan rahmat, dan bulan utama...
                 Pahala digandakan, doa diterima..
                   Bulan Lailatul Qadar yang istimewa.......”

Aku bangun bersahur seperti biasa bersama ibu, ayah, dan adik kecilku, Nina. Terasa janinku menendang-nendang perutku. ‘Kau lapar ya, sayang,’ bisikku. Aku menjamah nasi berserta lauk yang terhidang, buat bekalanku seharian untuk berpuasa, juga buat si kecil di dalam rahimku.

Ramadhan kali ini, rasa hina buat diriku. Aku hina dengan diri aku sendiri. Kadang-kadang aku terfikir, mengapa tiada rasa bersalah menghantui diriku? Mengapa tiada rasa gusar melanda kalbuku? Aku memang tiada rasa apa-apa. Aku meneruskan kehidupan ini dengan satu perasaan, apa yang terjadi, akan, dan biarlah terjadi. Bodohkah aku?
‘Maafkan Aina, ibu..maafkan, Aina, ayah..apa pun yang bakal terjadi, tolong ampunkan Aina,’ bisik hati kecilku. Ya, memang benar. Itu bisikan tulus dari nuraniku.

“Sayang baby ayah ni, ayah datang nak buka puasa dengan anak ayah ni,” Hazril berkata sambil menundukkan kepalanya ke perutku. Terserlah kasih seorang ayah dalam dirinya di mataku.
“Aina sihat?” sambungnya. Aku hanya mengangguk.
Hari itu, aku berbuka puasa bersama kekasih hatiku. Dengannya, aku bahagia. Dia menyayangiku. Sungguh. Sehingga lewat malam aku bersamanya, menghantar pemergiannya pulang ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas. Dengannya, aku alpa, aku tidak mengendahkan kewajipanku terhadap Yang Maha Esa. Dia juga.

Aku meneruskan hari-hari seperti biasa. Bersahur di pagi hari bersama keluarga, pergi kerja seperti biasa, bertugas sebagai jururawat pelatih, pulang ke rumah usai tugas dihabiskan, berbuka puasa bersama keluarga sambil bercerita, sakat-menyakat dengan ibu, ayah, dan Nina. Semuanya seperti biasa.

“Raya nanti kita pulang ke kampung ibu dahulu, barulah pulang ke kampung ayah,” ibu bercerita.
“Ye ye! Dah nak raya! Ye ye! Boleh dapat banyak duit raya!” jerit Nina kegembiraan. Aku tersenyum melihat keletahnya. Kutenung Nina yang berusia 8 tahun itu. Kupandang wajah ibuku yang bersungguh-sungguh bercerita, diselang-seli dengan senyumannya. ‘Kasihan ibu,’ detik hatiku.
Kujeling sekilas ayah yang sedang duduk di meja, menguruskan soal zakat. Ayah seorang amil. ‘Ampunkan, Aina, ayah,’ hatiku sebak. Kala itu, timbul satu perasaan yang aku sendiri tidak dapat tafsirkan. Bagaimana nanti kalau semuanya sudah terbongkar? Bagaimana reaksi ayah nanti? Ayahku orang yang dikenali di kawasan kejirananku. Seorang yang dipandang tinggi. Bagaimana, Aina? Kau tak terfikirkah akan status ayahmu ketika melakukan benda terkutuk itu? Arghhh !! ‘Ini semua nafsu punya pasal!’ Aku mendengus kecil. Aku pasti, saat ini, syaitan sedang meraikan kemenangan menghasut anak-anak Adam ke lembah maksiat.
‘Jahanam kau, syaitan!’
Tapi mengapa syaitan pula yang aku salahkan? Aku yang lemah. Aku yang goyah dalam mengawal nafsu sendiri. Sedangkan ibu dan ayah telah memberikan aku didikan agama yang secukupnya. Aku yang terlalu mudah terpengaruh dengan godaan syaitan. Aku! Salah aku!

“Hazril, Aina tak tau nak buat apa sekarang ni. Sampai bila, Hazril?”
“Aina datang Kuala Lumpur, sayang. Abang tunggu Aina di Jalan Duta,” kata Hazril.
“Lepas tu?”
“Kita balik kampung. Abang dah beritahu mak abang tentang Aina,”
“Mak abang tak marah?”
“Tidak, sayang. Tiada siapa yang akan marah, Aina,” aku senyap. Emak Hazril tidak akan marah. Betulkah? Anaknya membuat aku mengandung sebelum ada ikatan yang halal, emaknya tidak marah? Betulkah?
Aku menurut sahaja. Aku perlu nekad.

17 Ramadhan, hari ini akan aku tinggalkan rumahku untuk bersama kekasihku, menempuhi apa yang bakal terjadi bersamanya. Aku terpaksa dalam rela. Takkan aku nak biarkan perutku membesar di depan ibu dan ayah. Perasaan takutku masih ada, makin bercambah hari demi hari. Mungkin perasaan itu sudah mula menjalar dan meresap di setiap sarafku. Huh! Baru kau tau, Aina! Baru nak rasa segala macam rasa setelah sekian lama kau melakukan onar!
“Bu, ayah, hari ni Aina tak balik tau. Aina nak temankan Jamilah untuk dua malam. Orang tua Jamilah tiada, out-station,” bohongku. Aku sedih. Aku sedih kerana terpaksa menipu kedua orang tua yang telah menjaga dan membesarkan aku selama ini.
“Jamilah? Siapa tu?”ayah bertanya.
“Kawan Aina kat klinik tu, ayah,” tipuku.
“Baik-baik. Kalau ada apa-apa, telefon rumah,” ibu menyambung. Aku hanya mengangguk.
Ibu dan ayah. Begitu tinggi kepercayaan kalian berdua terhadapku. Begitu mudah kau memberi keizinan terhadapku.
“Ampunkan, Aina, ibu, ayah!” bisikku. ‘Aina yang tidak menghargai ibu dan ayah! Aina mensia-siakan kepercayaan ibu dan ayah terhadap Aina!’ Hatiku bergetar. Kenapa aku sezalim ini terhadap ibu dan ayah? Aku sedih. Hatiku meruntun pilu sendirian.

Saat aku tiba di Perhentian Bas Jalan Duta, kelibat Hazril kelihatan bersandar di tepi dinding. Aku tersenyum. Dia memang menepati janji. Aku bahagia melihatnya menantikan kehadiranku.
Hazril menyambutku dengan senyuman manis. Aku menyalaminya, laksana seorang isteri menyalami seorang suami. Ikatan halal langsung belum terjalin, namun aku masih tega untuk melakukan dosa.
‘Ini semua bukan salah syaitan, ini semua nafsu yang kau sendiri pandu, Aina! Di mana imanmu? Aina, Aina.’ Aku bermonolog sendirian.

Aku duduk bersebelahan dengan Hazril di dalam bas yang sedang menuju ke Melaka. Masing-masing kelu untuk berkata. Telah beberapa kali aku ke rumah orang tua Hazril. Mereka telah mengenaliku. Cuma keluargaku sahaja yang tidak mengenali Hazril, sekaligus tidak tahu yang aku pernah ke rumah orang tua Hazril di Melaka. Sememangnya, aku ini pandai menyimpan rahsia, hanya kerana aku tahu ibu dan ayah akan mempercayai segala kata-kataku. ‘Kau anak yang tidak sedar dek untung, Aina!’ aku menyumpah diriku sendiri.
“Betul ke mak abang tak marah? Abang dah beritahu mak abang pasal kandungan ni?” aku memulakan bicara.
“Sudah, sayang. Mak yang suruh abang bawa Aina balik ke Melaka,” Hazril membalas sambil memandang perutku. Kami berdua sama-sama tersenyum.

Setibanya di rumah orang tua Hazril, aku lihat emak, ayah, dan adiknya sedang duduk menonton televisyen. Kami memberi salam, menyalami semua yang ada, dan duduk menyertai mereka menonton televisyen. Tiada apa-apa yang berlaku. Mereka kulihat seperti biasa. Berborak, bergelak ketawa bersama, bagai tiada apa. ‘Adakah mereka menyembunyikan perasaan sendiri,’ getarku. Entah, aku tidak tahu.

Malam itu selepas pulang dari masjid menunaikan solat terawih, aku duduk bersama-sama emak Hazril dan adiknya, Husna. Hazril tiada saat itu, entah ke mana. Emaknya menoleh ke arahku, merenung perutku. Aku gabra.
“Emak Aina tahu tak pasal ni?” dia memulakan bicara. Husna kulihat leka menonton televisyen sambil memakan kismis.
Aku menggelengkan kepala. Hati mula berdebar.
“Emak Aina tak pernah tanya ke, dah datang haid ke belum bulan ni? Takkan lah tak pernah tanya, tak pernah ambil tahu. Makcik sendiri setiap bulan tanya anak-anak makcik yang tak kahwin lagi ni ha, si Husna. Datang ke tidak, period,” emak Hazril kurasa semakin meninggikan suara. Aku tidak menjawab. Dia kulihat seperti ingin mengatakan yang ibuku tidak ambil berat langsung tentangku.
“Kenapa tak makan ubat yang Hazril bagi? Bila dah jadi macam ni, macam mana nak buat?” aku diam lagi. Hazril kata, emaknya tidak akan marah. Tapi kenapa dia memarahi aku ketika Hazril tiada? Mengapa tidak dihamburkan semua tika Hazril ada bersama?
Ya, Hazril memang ada memberiku ubat, sejenis pil. Aku tidak tahu ubat apa sebenarnya saat kali pertama Hazril memberikan kepadaku. Tapi kini aku pasti, ubat itu adalah pil perancang. Ibunya tahu itu! Ibunya tahu Hazril berikan aku pil perancang!

Keesokannya, aku dan Hazril keluar berdua, berjalan-jalan di sekitar Bandar Ayer Keroh. Hazril bagiku seorang yang penyayang. Manjagaku, menyayangiku sepenuh hati. Aku bahagia dengannya. Sungguh, aku benar-benar bahagia, justeru aku terlalu menyayanginya sehingga aku sanggup untuk berbuat apa sahaja mengikut kata-katanya.

Kami pulang ketika Asar. Hajat ingin membantu emak Hazril dalam menyediakan juadah untuk berbuka puasa. Nanti, apa pula kata emak Hazril kalau balik lewat petang.
“Telefon tu tak berhenti-henti berbunyi, Aina! Dari tadi telefon tu berdering setiap 5 minit. Pergi jawab panggilan tu, ibu Aina yang telefon,” sahut emak Hazril saat telefon rumahnya berdering minta diangkat.
“Makcik dah telefon ibu Aina, beritahu semuanya. Benda dah terjadi, sampai bila mahu disembunyikan,” sambungnya lagi.

“Aina! Aina anak ibu!” terdengar jeritan ibuku dicorong telefon. Aku hanya mendiamkan diri.
“Aina! Betul ke apa yang emak Hazril beritahu? Tak betul, bukan? Tidak, kan?” ibu terus menyoalku bertubi-tubi. Aku tetap kelu.
“Aina dengar tak apa yang ibu cakap ni, nak? Aina! Jawab, Aina!”
“…………..Betul, bu,” aku menjawab pendek.
“Ainaaaaa!! ………. Sampai hati kau, nak!!... Sudah berapa bulan, Aina?!” raungan ibu kedengaran berselang-seli dengan esakannya. Aku tetap aku, diam, tidak tahu mahu bereaksi bagaimana. Terasa bodoh sungguh diri aku ini. Menggeleng kepalaku sendiri sebagai jawapan tanda aku tidak tahu berapa usia kandunganku, sepertinya ibu nampak. Huh! Aina, Aina!

   “Isilah bulan ini, banyakkan amalan…
       Beribadah malam, siang berpuasa….
          Banyakkanlah sedekah, jangan dikira…
             Moga ia menjadi penebus dosa….”
   “Membaca Al-Quran, jangan dilupakan…
       Zikir dan tasbih, elok disertakan….
          Meriahkan Ramadhan, jangan mencacatkan…
             Agar Ramadhan, tidak sia-sia….”

Ramadhan ini tidak bererti bagiku. Aku sendiri mensia-siakan Ramadhan kali ini. Ramadhan yang acapkali sebelum ini aku penuhi dengan ibadah-ibadah wajib dan sunat, tapi Ramadhan tahun ini aku bagai bukan aku yang dulu. Memang. Aina pada Ramadhan tahun ini tidak seperti Aina yang sebelum. Aina yang kini diselubungi noda, onar yang tidak bertepi!

‘Ibu! Ayah! Ampunkan Aina! Ampunkan Aina!’ raungan pilu dalam hatiku diiringi air mata yang kali ini ikhlas mengalir, dek kerana sesalan yang menggunung mula menjalar di dalam hati.