Sunday 13 April 2014

Ramadhan Ini ~~~

Teks       : Cerpen Mengikut Bulan
Gambar  : Carian Google


Aku memandang perutku sambil mengusapnya perlahan. Aku terdiam seketika, tidak tahu apa yang hendak aku fikirkan. “Memang ada benda dalam perut aku ni”, bisikku antara dengar atau tidak.
Setelah siap melunaskan hajat, aku menapak keluar untuk menyambung kerja. Aku baru bekerja di sebuah klinik yang terletak bersebelahan dengan kawasan tempat tinggalku. Baru dua minggu.
“Abang…dalam perut ni adalah benih cinta kita..abang jangan abaikan Aina,” aku berbisik kecil, teringatkan kekasih hatiku. Di dalam hati ini tiada rasa yang timbul. Takut, marah, semuanya tiada.

Aku meneruskan hari-hariku seperti biasa, bekerja seperti biasa, bergaul bersama-sama teman seperti biasa, langsung tidak memikirkan apa yang akan dilakukan, apa yang bakal terjadi kepada diriku. Seperti tiada apa-apa yang berlaku. Aku hanya menunggu buah hatiku. Itu sahaja. Apa yang pasti, mereka di sekelilingku tidak menyedari bahawa perutku semakin membesar. Mungkin kerana saiz badanku yang kecil, dan mungkin kerana ini kandungan pertamaku. Mungkin, kerana aku pernah mendengar orang kata, kalau mengandung anak petama, biasanya seperti tidak mengandung. Entahlah, bergantung kepada orang, mungkin.  

Aku termenung sendiri. Esok, puasa akan aku teruskan seperti biasa. Tadi pun, aku pergi ke masjid untuk solat terawih bersama ibu. Ibu juga seperti biasa. Tidak mengesyaki apa-apa, sementelah diriku sendiri seperti tiada perubahan terutama pada perut. Walhal, aku sahaja yang tahu perutku berisi janin, benih cinta antara aku dan Hazril, yang aku sendiri tidak dapat mengagak berapa usia kandunganku itu.

“Aina jangan risau ye, sayang. Esok abang datang jumpa Aina,” Hazril memujuk di dalam telefon. Aku mencintainya setulus hatiku. Dengan dia, aku serahkan segala milikku tanpa ragu. Entahlah, aku pun tidak tau mengapa aku semudah itu memberi. Tidak terfikirkah aku akan ibu? Akan wali ku, ayah? Aku memang tidak tahu. Apa yang aku tahu, aku menurut sahaja kehendak Hazril.
            “Bulan Ramadhan, bulan yang berkat..
               Bulan rahmat, dan bulan utama...
                 Pahala digandakan, doa diterima..
                   Bulan Lailatul Qadar yang istimewa.......”

Aku bangun bersahur seperti biasa bersama ibu, ayah, dan adik kecilku, Nina. Terasa janinku menendang-nendang perutku. ‘Kau lapar ya, sayang,’ bisikku. Aku menjamah nasi berserta lauk yang terhidang, buat bekalanku seharian untuk berpuasa, juga buat si kecil di dalam rahimku.

Ramadhan kali ini, rasa hina buat diriku. Aku hina dengan diri aku sendiri. Kadang-kadang aku terfikir, mengapa tiada rasa bersalah menghantui diriku? Mengapa tiada rasa gusar melanda kalbuku? Aku memang tiada rasa apa-apa. Aku meneruskan kehidupan ini dengan satu perasaan, apa yang terjadi, akan, dan biarlah terjadi. Bodohkah aku?
‘Maafkan Aina, ibu..maafkan, Aina, ayah..apa pun yang bakal terjadi, tolong ampunkan Aina,’ bisik hati kecilku. Ya, memang benar. Itu bisikan tulus dari nuraniku.

“Sayang baby ayah ni, ayah datang nak buka puasa dengan anak ayah ni,” Hazril berkata sambil menundukkan kepalanya ke perutku. Terserlah kasih seorang ayah dalam dirinya di mataku.
“Aina sihat?” sambungnya. Aku hanya mengangguk.
Hari itu, aku berbuka puasa bersama kekasih hatiku. Dengannya, aku bahagia. Dia menyayangiku. Sungguh. Sehingga lewat malam aku bersamanya, menghantar pemergiannya pulang ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas. Dengannya, aku alpa, aku tidak mengendahkan kewajipanku terhadap Yang Maha Esa. Dia juga.

Aku meneruskan hari-hari seperti biasa. Bersahur di pagi hari bersama keluarga, pergi kerja seperti biasa, bertugas sebagai jururawat pelatih, pulang ke rumah usai tugas dihabiskan, berbuka puasa bersama keluarga sambil bercerita, sakat-menyakat dengan ibu, ayah, dan Nina. Semuanya seperti biasa.

“Raya nanti kita pulang ke kampung ibu dahulu, barulah pulang ke kampung ayah,” ibu bercerita.
“Ye ye! Dah nak raya! Ye ye! Boleh dapat banyak duit raya!” jerit Nina kegembiraan. Aku tersenyum melihat keletahnya. Kutenung Nina yang berusia 8 tahun itu. Kupandang wajah ibuku yang bersungguh-sungguh bercerita, diselang-seli dengan senyumannya. ‘Kasihan ibu,’ detik hatiku.
Kujeling sekilas ayah yang sedang duduk di meja, menguruskan soal zakat. Ayah seorang amil. ‘Ampunkan, Aina, ayah,’ hatiku sebak. Kala itu, timbul satu perasaan yang aku sendiri tidak dapat tafsirkan. Bagaimana nanti kalau semuanya sudah terbongkar? Bagaimana reaksi ayah nanti? Ayahku orang yang dikenali di kawasan kejirananku. Seorang yang dipandang tinggi. Bagaimana, Aina? Kau tak terfikirkah akan status ayahmu ketika melakukan benda terkutuk itu? Arghhh !! ‘Ini semua nafsu punya pasal!’ Aku mendengus kecil. Aku pasti, saat ini, syaitan sedang meraikan kemenangan menghasut anak-anak Adam ke lembah maksiat.
‘Jahanam kau, syaitan!’
Tapi mengapa syaitan pula yang aku salahkan? Aku yang lemah. Aku yang goyah dalam mengawal nafsu sendiri. Sedangkan ibu dan ayah telah memberikan aku didikan agama yang secukupnya. Aku yang terlalu mudah terpengaruh dengan godaan syaitan. Aku! Salah aku!

“Hazril, Aina tak tau nak buat apa sekarang ni. Sampai bila, Hazril?”
“Aina datang Kuala Lumpur, sayang. Abang tunggu Aina di Jalan Duta,” kata Hazril.
“Lepas tu?”
“Kita balik kampung. Abang dah beritahu mak abang tentang Aina,”
“Mak abang tak marah?”
“Tidak, sayang. Tiada siapa yang akan marah, Aina,” aku senyap. Emak Hazril tidak akan marah. Betulkah? Anaknya membuat aku mengandung sebelum ada ikatan yang halal, emaknya tidak marah? Betulkah?
Aku menurut sahaja. Aku perlu nekad.

17 Ramadhan, hari ini akan aku tinggalkan rumahku untuk bersama kekasihku, menempuhi apa yang bakal terjadi bersamanya. Aku terpaksa dalam rela. Takkan aku nak biarkan perutku membesar di depan ibu dan ayah. Perasaan takutku masih ada, makin bercambah hari demi hari. Mungkin perasaan itu sudah mula menjalar dan meresap di setiap sarafku. Huh! Baru kau tau, Aina! Baru nak rasa segala macam rasa setelah sekian lama kau melakukan onar!
“Bu, ayah, hari ni Aina tak balik tau. Aina nak temankan Jamilah untuk dua malam. Orang tua Jamilah tiada, out-station,” bohongku. Aku sedih. Aku sedih kerana terpaksa menipu kedua orang tua yang telah menjaga dan membesarkan aku selama ini.
“Jamilah? Siapa tu?”ayah bertanya.
“Kawan Aina kat klinik tu, ayah,” tipuku.
“Baik-baik. Kalau ada apa-apa, telefon rumah,” ibu menyambung. Aku hanya mengangguk.
Ibu dan ayah. Begitu tinggi kepercayaan kalian berdua terhadapku. Begitu mudah kau memberi keizinan terhadapku.
“Ampunkan, Aina, ibu, ayah!” bisikku. ‘Aina yang tidak menghargai ibu dan ayah! Aina mensia-siakan kepercayaan ibu dan ayah terhadap Aina!’ Hatiku bergetar. Kenapa aku sezalim ini terhadap ibu dan ayah? Aku sedih. Hatiku meruntun pilu sendirian.

Saat aku tiba di Perhentian Bas Jalan Duta, kelibat Hazril kelihatan bersandar di tepi dinding. Aku tersenyum. Dia memang menepati janji. Aku bahagia melihatnya menantikan kehadiranku.
Hazril menyambutku dengan senyuman manis. Aku menyalaminya, laksana seorang isteri menyalami seorang suami. Ikatan halal langsung belum terjalin, namun aku masih tega untuk melakukan dosa.
‘Ini semua bukan salah syaitan, ini semua nafsu yang kau sendiri pandu, Aina! Di mana imanmu? Aina, Aina.’ Aku bermonolog sendirian.

Aku duduk bersebelahan dengan Hazril di dalam bas yang sedang menuju ke Melaka. Masing-masing kelu untuk berkata. Telah beberapa kali aku ke rumah orang tua Hazril. Mereka telah mengenaliku. Cuma keluargaku sahaja yang tidak mengenali Hazril, sekaligus tidak tahu yang aku pernah ke rumah orang tua Hazril di Melaka. Sememangnya, aku ini pandai menyimpan rahsia, hanya kerana aku tahu ibu dan ayah akan mempercayai segala kata-kataku. ‘Kau anak yang tidak sedar dek untung, Aina!’ aku menyumpah diriku sendiri.
“Betul ke mak abang tak marah? Abang dah beritahu mak abang pasal kandungan ni?” aku memulakan bicara.
“Sudah, sayang. Mak yang suruh abang bawa Aina balik ke Melaka,” Hazril membalas sambil memandang perutku. Kami berdua sama-sama tersenyum.

Setibanya di rumah orang tua Hazril, aku lihat emak, ayah, dan adiknya sedang duduk menonton televisyen. Kami memberi salam, menyalami semua yang ada, dan duduk menyertai mereka menonton televisyen. Tiada apa-apa yang berlaku. Mereka kulihat seperti biasa. Berborak, bergelak ketawa bersama, bagai tiada apa. ‘Adakah mereka menyembunyikan perasaan sendiri,’ getarku. Entah, aku tidak tahu.

Malam itu selepas pulang dari masjid menunaikan solat terawih, aku duduk bersama-sama emak Hazril dan adiknya, Husna. Hazril tiada saat itu, entah ke mana. Emaknya menoleh ke arahku, merenung perutku. Aku gabra.
“Emak Aina tahu tak pasal ni?” dia memulakan bicara. Husna kulihat leka menonton televisyen sambil memakan kismis.
Aku menggelengkan kepala. Hati mula berdebar.
“Emak Aina tak pernah tanya ke, dah datang haid ke belum bulan ni? Takkan lah tak pernah tanya, tak pernah ambil tahu. Makcik sendiri setiap bulan tanya anak-anak makcik yang tak kahwin lagi ni ha, si Husna. Datang ke tidak, period,” emak Hazril kurasa semakin meninggikan suara. Aku tidak menjawab. Dia kulihat seperti ingin mengatakan yang ibuku tidak ambil berat langsung tentangku.
“Kenapa tak makan ubat yang Hazril bagi? Bila dah jadi macam ni, macam mana nak buat?” aku diam lagi. Hazril kata, emaknya tidak akan marah. Tapi kenapa dia memarahi aku ketika Hazril tiada? Mengapa tidak dihamburkan semua tika Hazril ada bersama?
Ya, Hazril memang ada memberiku ubat, sejenis pil. Aku tidak tahu ubat apa sebenarnya saat kali pertama Hazril memberikan kepadaku. Tapi kini aku pasti, ubat itu adalah pil perancang. Ibunya tahu itu! Ibunya tahu Hazril berikan aku pil perancang!

Keesokannya, aku dan Hazril keluar berdua, berjalan-jalan di sekitar Bandar Ayer Keroh. Hazril bagiku seorang yang penyayang. Manjagaku, menyayangiku sepenuh hati. Aku bahagia dengannya. Sungguh, aku benar-benar bahagia, justeru aku terlalu menyayanginya sehingga aku sanggup untuk berbuat apa sahaja mengikut kata-katanya.

Kami pulang ketika Asar. Hajat ingin membantu emak Hazril dalam menyediakan juadah untuk berbuka puasa. Nanti, apa pula kata emak Hazril kalau balik lewat petang.
“Telefon tu tak berhenti-henti berbunyi, Aina! Dari tadi telefon tu berdering setiap 5 minit. Pergi jawab panggilan tu, ibu Aina yang telefon,” sahut emak Hazril saat telefon rumahnya berdering minta diangkat.
“Makcik dah telefon ibu Aina, beritahu semuanya. Benda dah terjadi, sampai bila mahu disembunyikan,” sambungnya lagi.

“Aina! Aina anak ibu!” terdengar jeritan ibuku dicorong telefon. Aku hanya mendiamkan diri.
“Aina! Betul ke apa yang emak Hazril beritahu? Tak betul, bukan? Tidak, kan?” ibu terus menyoalku bertubi-tubi. Aku tetap kelu.
“Aina dengar tak apa yang ibu cakap ni, nak? Aina! Jawab, Aina!”
“…………..Betul, bu,” aku menjawab pendek.
“Ainaaaaa!! ………. Sampai hati kau, nak!!... Sudah berapa bulan, Aina?!” raungan ibu kedengaran berselang-seli dengan esakannya. Aku tetap aku, diam, tidak tahu mahu bereaksi bagaimana. Terasa bodoh sungguh diri aku ini. Menggeleng kepalaku sendiri sebagai jawapan tanda aku tidak tahu berapa usia kandunganku, sepertinya ibu nampak. Huh! Aina, Aina!

   “Isilah bulan ini, banyakkan amalan…
       Beribadah malam, siang berpuasa….
          Banyakkanlah sedekah, jangan dikira…
             Moga ia menjadi penebus dosa….”
   “Membaca Al-Quran, jangan dilupakan…
       Zikir dan tasbih, elok disertakan….
          Meriahkan Ramadhan, jangan mencacatkan…
             Agar Ramadhan, tidak sia-sia….”

Ramadhan ini tidak bererti bagiku. Aku sendiri mensia-siakan Ramadhan kali ini. Ramadhan yang acapkali sebelum ini aku penuhi dengan ibadah-ibadah wajib dan sunat, tapi Ramadhan tahun ini aku bagai bukan aku yang dulu. Memang. Aina pada Ramadhan tahun ini tidak seperti Aina yang sebelum. Aina yang kini diselubungi noda, onar yang tidak bertepi!

‘Ibu! Ayah! Ampunkan Aina! Ampunkan Aina!’ raungan pilu dalam hatiku diiringi air mata yang kali ini ikhlas mengalir, dek kerana sesalan yang menggunung mula menjalar di dalam hati.
 

No comments:

Post a Comment