Saturday 26 April 2014

Penantian tak kunjung tiba

Teks       :       Menanti Idea
Gambar  :       Carian Google

Tidak tahu nak memulakan bagaimana. Idea masih tidak kunjung tiba, tetapi blog tidak harus dibiarkan sepi. Hmm, baru tersedar bahawa dunia penulisan bukanlah smudah yang disangka. Nak menggarap idea, bukan sesenang kata. Huh!

Mungkin aku boleh menjadi seperti dulu, penuh dengan idea, andainya aku memang seperti dulu! Maksud aku, zaman di mana aku belum bekerja, belum punya tanggungjawab yang besar, belum punya anak yang sentiasa menagih perhatianku. Mungkin.

Tapi, jika difikirkan balik, ada sahaja wanita-wanita berkerjaya yang boleh melakukan semua itu dalam satu masa. Ahh! Senang cerita, aku belum atau memang tidak pandai lagi untuk membahagikan masa. Mana untuk kerja, mana untuk rumah, dan yang mana untuk hobi. Ya, itulah dia yang sebenarnya. He he he.

Tak apa, perlahan-lahan. InsyaAllah.

Kalau tengok blog aku, aku ada tambah pages. Hihihi. Tujuan aku ada blog pun, salah satunya nak mempromosikan apa yang ada pada aku la. Tu pun belajar sendiri tu nak buat pages. Punyalah payah.
Rasanya, kalau di 'edit', nanti mesti hilang semula. Aku masih dalam proses mempelajari selok-belok untuk menjadi sorang blogger.

Namun, aku harap, ada la juga peningkatan jualanku dengan adanya blog ni. Banyak penambahbaikan perlu aku lakukan.

#Salam kasih sayang!



Wednesday 23 April 2014

~~~ Ramadhan Ini (Part II) ~~~

Teks       :   Ramadhan Ini (Part II)
Gambar  :   Carian Google

Hari-hari seterusnya aku lalui seperti biasa di rumah ibu bapa Hazril. Namun, sayu dihati sentiasa menjalar disanubariku, mengenangkan tergamaknya aku sebagai seorang anak memperlakukan kedua ibu bapa yang paling aku sayangi sebegini rupa. Tapi, apa yang mampu aku lakukan?
            ‘Terlajak perahu boleh di undur, terlajak kata badan binasa’.
Aku memang sudah terlalu jauh terlajak, yang memang tidak boleh di undur kala ini. Apa yang ada di fikiranku, aku perlu melahirkan anak ini, barulah aku boleh rencanakan apa yang perlu aku lakukan untuk memperbaiki kehidupan ini yang kurasakan telah kucar-kacir angkara diriku sendiri.
            “Ya Allah, Kau tunjukkanlah jalan padaku,” aku merintih kesayuan.

Hidup bersama orang tua Hazril, aku rasa amat janggal sekali. Ibunya bagiku, seperti talam dua muka. Saat Hazril ada bersama, aku dilayannya seperti anak sendiri. Tapi, apabila Hazril pulang ke Kuala Lumpur untuk bekerja, dan aku sendirian di rumah orang tuanya, ada sahaja karenah ibunya yang bagiku, sangat menyakitkan. Dia seolah-olah selalu menyindir atas perbuatan keji yang telah aku lakukan. Padahal, anak lelakinya yang membuat aku jadi begini, bersama-samaku melakukan onar. Mengapa tidak dihamburkan kepada anak lelakinya juga? Aku jadi sedih. Inikah jalan yang perlu aku tempuhi, yang perlu aku lalui untuk 9 bulan sementara kandunganku ini membesar? Aku jadi rimas. Namun, untuk bertekak dengannya, belum lagi. Aku masih menjaga adabku terhadap orang yang lebih tua.

            “Aina, pulang ke rumah ibu,nak. Hal ini perlu diselesaikan cepat, sementara kandungan Aina belum terlalu nampak. Aina pulang ya,” rayu ibu. Hari tu, aku menerima panggilan daripada ibu yang amat kurindui. Sungguh, airmata ini tidak henti mengalir kala mendengar suara ibu di corong telefon.
            “Aina takut. Aina malu, ibu,” aku keesakan. Benar! Aku malu dengan ibu dan ayahku. Malu dengan apa yang telah aku lakukan.
            “Balik, nak. Tiada siapa akan marah. Tolonglah balik. Ibu dan ayah perlu selesaikan hal ini dengan ibu bapa Hazril,” rayu ibu lagi. Aku terdiam dalam esakan. Ya, perkara ini perlu diselesaikan. Aku harus memikirkan untuk diriku sendiri.

            “Hazril, tolong hantar Aina pulang,” pintaku.
            “Hmm..Aina hendak pulang? Tak takut ibu dan ayah Aina marah?” balas Hazril. Mengapa pula dia harus berfikiran seperti itu? Bukankah dia sudah tahu yang ibu dan ayahku telah mengetahui tentang perkara ini? Tidak terfikirkah Hazril yang perkara ini perlu diselesaikan secepat mungkin?
            “Hazril, perkara ni perlu diselesaikan kata ibu.”
            “Selesaikan macam mana?” tanya Hazril lagi. Kami berhubung melalui telefon setiap hari. Aku yang mendesaknya untuk menghubungiku saban waktu kerana aku bosan berseorangan di rumah orang tuanya.
            “Hazril, takkanlah nak biarkan kandungan Aina membesar tanpa status? Takkan nak biarkan Aina di rumah Hazril sepanjang masa? Mungkin, ibu ada perkara yang ingin dibincangkan bersama. Tolong hantar Aina pulang,” desahku. Hazril kudengar hanya mendengus kecil sebelum bersuara.
            “Baiklah. Hujung minggu ni abang balik,”
           
            “Benda sudah terjadi, nak marah pun tiada guna. Budak-budak mudalah katakan.”
            “Iya, memang benar tu, Pn. Rosnah. Tetapi, sepatutnya yang lelaki menjaga maruah si perempuan, kalau benarlah dia sayang dan ingin hidup bersamanya.”
            “Yang si perempuan juga sepatutnya tahu jaga diri sendiri! Mudah sangat menyerahkan segala-galanya! Orang tua tidak ajarkah?”
           
Dasss! Aku menjeling wajah ibu dan ayahku. Tergamak ibu Hazril berkata begitu kepada kedua orang tuaku. Kalau nak salahkan aku pun, janganlah sampai seolah-olah membela anak sendiri. Apa dia ingat anaknya tidak boleh dipersalahkan? Hatiku jadi membara melihat pertelingkahan kecil antara ibuku dan ibu Hazril, sementelah ayah hanya mendiamkan diri, menahan sabar, mungkin. Hazril disebelahku juga hanya mendiamkan diri. Hazril hanya datang ke rumahku bersama ibunya sahaja. Ayah Hazril tidak mahu ikut serta dengan alasan rumahku jauh. Itu katanya.
            Suasana hening seketika. Aku kasihan melihat ibuku. Dek kerana nafsu aku sendiri, ibu dan ayah terpaksa menerima tohmahan dari bakal besan mereka. Hati ini bagai disiat-siat melihatkan sikap ibu Hazril. Inikah sikap ibunya yang sebenar? Entah, aku tidak tahu. Aku memang tidak tahu, kerana sepanjang aku berkawan, bercinta dengan Hazril, aku akui memang pernah ke rumahnya. Tetapi, tidak terlalu kerap, dan ibunya ketika itu aku rasakan seperti ibu-ibu lain yang melayan kawan-kawan anaknya seperti biasa sahaja. Aku jadi keliru. Hati ini tidak dapat menggambarkan apa yang bermain di fikiran.

            “Macam inilah sahaja,” ayah bersuara tiba-tiba. “Usahlah kita bergaduh. Memang benar, benda sudah terjadi. Kedua-dua pihak bersalah, jangan kita saling menuding jari. Apapun yang telah terjadi, harus diselesaikan juga, tidak boleh dibiarkan begitu sahaja,” kulihat ayah berkata dengan tenangnya.
            “Akad nikah harus dijalankan secepat yang boleh. Kita uruskan seperti kita menguruskan sebuah perkahwinan, tiada beza, kerana itulah yang seharusnya berlaku sekarang...”
            “Merisik, bertunang, segala tu semua sudah tidak perlu lagi. Kalau itu semua pun nak dilangsungkan, makin membuncitlah perut tu,” ibu Hazril membidas kata-kata ayahku. Mata dan mulutnya terus memandang ke perutku. Aku rasa seperti dihina. Aku menoleh ke arah Hazril. Dia hanya membuat muka bersahaja. Aku tahu, dia juga mungkin tidak tahu mahu berkata atau berbuat apa.
            Ibuku tiba-tiba bangun dan berlalu ke dapur, membiarkan perbincangan itu diteruskan antara ayah dan ibu Hazril sahaja. Ibu sedih, telahku. Mungkin. Ya, ayah telah mendidik ibu menjadi sebaik-baik insan, untuk bersabar dengan sebarang kerenah manusia. Mungkin ibu ingin menahan diri dan bertengkar semula dengan ibu Hazril. Mungkin.
            “Ya, Puan Rosnah. Tidak perlu merisik dan bertunang. Kita akad nikah sahaja. Majlis perkahwinan di pihak perempuan juga akan dilangsungkan. Tak tahulah pula di pihak lelaki bagaimana,” ayah menjawab setenang mungkin. Ibu Hazril hanya mendesah sambil membetulkan tempat duduknya.
            “Cuma saya minta, akad nikah dijalankan di rumah pihak lelaki,” ayah menambah, sayu. Ibu Hazril kulihat tersenyum sumbing sambil mengangguk seadanya.
            Aku faham mengapa ayah ingin akad nikah diadakan di rumah Hazril. Ya, status ayah sebagai orang yang dikenali di kawasan kejirananku membuat ayah malu untuk menikahkan aku di sini, masih cuba untuk merahsiakan kehamilanku sekiranya akad nikah diadakan secara tergesa-gesa. Pasti jiran-jiranku akan bertanya, risik tiada, tunang tiada, tiba-tiba menikah. Tidakkah itu seolah-olah ingin memberitahu semua bahawa aku sudah mengandung! Aku akur, kerana aku yang bersalah.

            Dua hari Hazril dan ibunya berada di rumahku, bersahur dan berbuka bersama-sama kami. Sepanjang mereka berada di rumahku, hubungan yang ingin dijalinkan antara ibuku dan ibu Hazril begitu hambar kurasakan. Ibu Hazril dengan sikapnya, manakala ibuku tetap berusaha untuk melayan tetamunya itu sebaik mungkin. Aku hanya dapat berdoa agar ibuku dapat menerima Hazril dan keluarganya seadanya mereka, walaupun aku akui bahawa aku sendiri agak terkilan dengan sikap yang ditunjukkan oleh ibu Hazril.

            Usai perbincangan antara ayahku dan ibu Hazril dua hari lepas, kedua-dua belah pihak telah memutuskan untuk mengadakan majlis akad nikah di rumah orang tua Hazril di Melaka. Majlis kenduri kecil juga akan diadakan selepas akad nikah dijalankan, namun tiada majlis persandingan, itu kata ibu Hazril. Perkara yang berlaku katanya seperti terlalu tiba-tiba, dia tidak mahu menanggung risiko untuk mengadakan majlis persandingan secara tergesa-gesa. Cukuplah kenduri kecil menjemput saudara-mara dan jiran tetangga sahaja.
            Manakala di pihakku pula, majlis persandingan akan dilangsungkan seminggu selepas majlis akad nikah di rumah Hazril. Semua ini akan berlaku sebulan dari tarikh hari perbincangan itu. Itu permintaan ayahku, kerana dia tidak mahu melewat-lewatkan urusan akad nikah, sementelah aku asyik bersama Hazril sahaja, lebih baik dinikahkan terus daripada berterusan membuat dosa.

            Dalam masa sebulan sebelum tarikh akad nikahku, ibu bertindak sewajarnya, menempah baju pengantin untukku, katering untuk urusan makan minum sepanjang majlis berlangsung, mak andam, pelamin, hantaran, dan segala macam benda lagi selayaknya untuk mengadakan sebuah majlis persandingan. Aku membantu mana yang termampu, menurut segala kehendak ibu tanpa sebarang bantahan, kerana bagiku, asalkan apa yang ibu buat itu memang patut dilakukan untuk menyelamatkan nama baik keluargaku, aku akur. Aku tidak mahu cerewet memilih itu ini seperti benar-benar seorang dara ingin menamatkan zaman bujangnya. Kerana aku tahu, aku tidak layak untuk bertindak seperti itu. Jadinya, aku menurut sahaja apa yang difikirkan elok oleh ibuku.
            Sepanjang masa itu juga, aku tidak berhubung dengan Hazril. Itu permintaan ibu dan ayahku.
            “Bersabarlah, Aina. Kamu akan bersatu dalam masa sebulan sahaja lagi. Jadi ayah minta kamu agar bersabar sedikit sahaja lagi,” aku jadi malu yang teramat kala ayah meluahkan kata itu. Namun, aku akur dengan permintaan ayah. Hazril juga memahami.

            Sepanjang aku lalui masa-masa sebelum hari akad nikahku menjelma, aku berlagak seperti biasa shaja. Bermain bersama adikku, Nina, menjawab segala pertanyaan sahabatku ketika aku berkerja di klinik dahulu, walaupun amat payah untuk aku berbohong kerana aku tidak tahu mahu beri alasan bagaimana, yang mampu menutup segala perbuatanku. Aku hanya khabarkan kepada mereka, aku terpaksa berhenti serta-merta atas alasan sepupuku meminta aku menemaninya selama waktu dia berpantang. Ah! Lantak kau oranglah mahu percaya atau tidak!
            Namun hati ini tidak pasti sama ada gembira atau tidak, teruja ataupun tidak sabar untuk menjadi isteri Hazril. Bukankah ini yang aku mahukan? Setelah apa yang telah terjadi, aku seharusnya gembira kerana akan disatukan dengan kekasih hatiku. Aku akan dapat melalui hari-hari bersamanya, makan bersamanya, minum berdua, dan yang pasti tidur pun bukan berseorangan lagi. Bukan kah itu yang aku mahukan??!
            ‘Hentikan pernikahan ini, Aina! Kau sanggup bermentuakan orang seperti ibu Hazril itu? Hentikan, Aina! Hentikan! Nanti kelak kau yang merana!’ Syaitan berterus-terusan membakar hatiku dengan api dendam. Memaksaku untuk berada dalam jurang kebingungan yang paling dalam. Membuntukan fikiranku. Mengingatkan kembali segala sikap dengkel ibu Hazril terhadapku selama aku di rumahnya dan ketika pertelingkahan antara ibuku dan ibu Hazril. Syaitan tidak jemu-jemu menghasutku, membuat aku jadi nanar.

            ‘Astaghfirullahhal’azim,’ aku beristighar berulang-ulang kali. Tidak! Tidak mungkin aku akan mengulangi kesilapan yang akan memalukan kedua orang tuaku lagi. Kini, aku pasti, apa yang ibu dan ayah aturkan adalah yang terbaik untukku. Ya! Jahanam kau, syaitan! Tidak akan aku goyah lagi dengan hasutanmu!
           
Kini, aku harus bangkit menjadi insan yang bertaqwa. Aku perlu nekad untuk memperbaiki diri ini demi ibu dan ayahku. Aku harus kuat melawan segala dugaan dan godaan syaitan.
            Ibu! Ayah! Doakan Aina!

Monday 21 April 2014

Twilight Saga


Teks       :   Sekuel Twilight Saga
Gambar  :   Carian Google

Aku sangat sangat sangat sukakan filem sekuel ini!! Sangat best!

Tapi, aku bukan menonton filem ini di pawagam. Hehehe.
Apa yang aku lakukan, aku copy dari pendrive kawan-kawanku. Jimat, dan tak perlu aku ke pawagam untuk menyaksikan filem ini.

Kelima-lima siri cerita ini ada dalam komputerku. Aku sangat sukakan jalan cerita filem ini. Dari satu episod, ke episod seterusnya, ia saling berkait. Memeang cerita ini adalah adaptasi dari novel, jadinya, thumbs up untuk pengarang novel inilah!

Kadang-kadang aku terfikir, kalaulah ada filem melayu yang macam ini. Mempunyai penonton setia sendiri. Rasanya ada sahaja filem yang berepisod, tapi rata-ratanya semua filem aksi, kan? Dan aku bukanlah penggemar filem aksi Malaysia. Aku rasa ridak sesuai orang Malaysia ni buat filem aksi, gengsterisme. Tapi, iu hanya pendapat aku. Yang pasti, aku memang tidak galakkan anak-anak aku untuk menonton filem aksi Malaysia.

Kenapa eik? Kalau filem aksi luar negara, ok je? Macam tak adil,kan? Hmm...Memanglah kita patut sokong filem industri negara kita sendiri, tapi kalau kita tengok filem gangster buatan Malaysia, ia seolah-olah boleh mempengaruhi sikap anak-anak yang masih kecil. Yelah, bahasa Mlayu, orang kita, bandar pun di dalam Malaysia. Jadinya, kalau anak yang baru nak meningkat besar, pasti tertanya-tanya dalam kekaguman melihat heronya, memang ada berlakukah adegan sebegitu di dalam negaranya sendiri. Bukan setakat anak, emaknya pun tertanya-tanya sekali!

Apapun, itu hanyalah pendapat peribadiku!

Yang pasti, sekuel Twilight Saga adalah sekuel yang paling best pernah aku tonton, walaupun berulang kali! Dengan barisan pelakon yang mantoooppp!!



#best movies ever!

Tuesday 15 April 2014

DUNIA SIBER

Teks       :   SIBER maniaq!
Gambar  :   Carian Google

Bismillahirrahmanirrahim.......

Bagi orang yang tak berapa nak pandai pasal dunia siber macam aku ni, keinginan nak pandai tu ada. Tapi, masa yang tak berapa nak ada sahaja yang membataskan aku untuk mengadap lappy. Lain yang aku nak buat, lain pulak yang jadi. Tapi, orang kata, malu bertanya sesatlah jalan. Hmm, betul tu, kan!

Puas aku menggodeh lappy aku ni, nak create profile badge seperti yang ditugaskan. Tapi, sampai hari ni, tak boleh-boleh. Aku tak tahu kat mana silapnya. Tapi, tak apa. Dalam mencari-cari tu, 'ter'belajar benda lain. Hehehe.

Aku minat dengan komputer. Aku suka menaip. Dari zaman sekolah aku suka menaip. Bermula dengan mesin taip manual tu, aku menaip benda-benda yang aku suka. Lepas ada kelas komputer, aku masuk. Dulu, belum ada lagi Microsoft. Seingat aku, masa aku mula belajar dulu, nama subjek tu ialah 'Wordstar'. Lepas tu 'Lotus', dan seterusnya 'Database'. Lepas itu, aku dah tak tau sebab dah tak sambung. Hehehe.

Kemudian, bila aku fikir-fikir semula, semua yang aku belajar dulu, sama sahaja dengan Microsoft. Yelah, Microsoft Word ganti Wordstar, Microsoft Excel sama dengan Lotus, dan Database pula diganti dengan Microsoft Power Point...kot..Hehehe

Tapi, tak mengapa. Walaupun aku ni jarang-jarang dapat siapkan tugasan, aku akan terus bertanya pada sifuku. Aku pasti, sifu aku tidak lokek ilmu. Buktinya, sampai hari ini kalau aku bertanya, dia tidak pernah abaikan pertanyaan aku tu. Ya, memang benar. Dan kerana itulah aku pun tidak mahu bosan belajar walaupun aku tahu, sifu ku itu pasti ada terdetik dihatinya, 'kenapalah anak murid aku yang ini lambat benar nak siapkan entri,' hehehe.. Maaf ya, Cikgu Monalita Mansor! :-)

Kawasan kediaman rumahku ni termasuk zon catuan air. Jadinya, dua hari ada air, dua hari tiada. Sudah hampir tiga minggu aku rasa, dan dengar khabar akan berlanjutan hingga Ramadhan. Ahh! Ramadhan? Ramadhan ini.........hihihi.. Semestinya aku menjadi sibuk apabila tiba hari yang ada air. Nak basuh baju, nak penuhkan kembali jag-jag air, baldi-baldi, bagi memastikan keperluan air cukup selepas dua hari. Hmm, selama lebih kurang 11 tahun aku tinggal di kediamanku, baru kali ini catuan seumpama itu aku alami. Memang payah jika tiada air. Sabar sahajalah sehingga keadaan kembali seperti biasa. Kalau diimbas kembali, lagi kasihan pada mereka di negara kering lagi kemarau. Hmm, insaf seketika.

Apapun, misi perlu diteruskan. Wahai ilham, datanglah kau ke dalam minda ini. Datanglah seperti tika aku muda remaja dulu, yang sampai tidak terluahkan ilham-ilhamku itu. Tercoret hanya di kertas buku sekolah lepas peperiksaan akhir tahun. Yang kalau aku tahu, akan aku simpan buku-buku contenganku itu.

Salam kasih sayang!

Monday 14 April 2014

Wanita Solehah

Teks       :   Impian setiap insan bergelar WANITA ~~
Gambar  :   Carian Google

Assalammualaikum.......
Salam pagi Isnin yang dirahmati, insyaAllah..

Aku bukanlah ustazah, yang nak berceramah pasal wanita solehah. Tapi, aku seorang perempuan, isteri, ibu, yang sangat ingin, lagi bercita-cita untuk menjadi seorang wanita solehah, tanpa paksaan sesiapa, yang datang tulus ikhlas dari hati ini sendiri. Justeru, aku suka untuk membaca apa-apa artikel yang berkaitan dengan muslimah.

Aku masih belum sempurna untuk menjadi wanita solehah. Namun, aku masih mencuba ke arah itu. InsyaAllah.

       *    Taat kepada Allah
       *    Berbuat baik kepada ibu bapa
       *    Sentiasa taat & berkhidmat kepada suami dengan sepenuh hati
       *    Menutup dan menjaga aurat
       *    Tidak berhias apabila keluar rumah
       *    Tidak keluar sendirian atau bersama lelaki ajnabi, kecuali bersama mahram
       *    Sentiasa memperbaiki dan menambah ibadah
       *    Berbuat baik dengan jiran tetangga
       *    Suka mempunyai anak yang ramai serta mendidik mereka dengan bersungguh-sungguh

Semua tu antara ciri-ciri wanita solehah. Aku catat sikit-sikit kala terjumpa mana-mana artikel. Hehehe...
Sementara masih ada masa untuk berubah, berusahalah. Betul tak ?

Ha! Artikel ni pun sangat aku 'berkenan' untuk dikongsi bersama.

       GANJARAN BUAT ISTERI :-

       "Sekali suami minum air yang disediakan oleh isterinya,
        adalah lebih baik dari isteri itu berpuasa setahun"

              "Makanan yang disediakan oleh isteri kepada suaminya
               adalah lebih baik dari isteri itu mengerjakan haji dan umrah"

       "Mandi junub si isteri disebabkan jimak oleh suaminya adalah
         lebih baik baginya daripada mengorbankan 1000 ekor kambing sebagai
         sedekah kepada fakir miskin"

              "Apabila isteri hamil, ia dicatit sebagai syahid
               dan khidmat kepada suaminya sebagai jihad"

Umum sudah mengetahui betapa mudahnya seorang wanita untuk masuk syurga. Hanya melakukan amalan baik, berbakti kepada suami, sudah mampu membawanya ke syurga. Tapi kita juga sedia maklum, bahawa wanitalah yang paling mudah masuk neraka juga. Fikir-fikirkan.

Aku rasa, aku sebenarnya tak pandai nak merangka ayat jika ingin berkongsi sesuatu yang berkaitan ilmiah. Rasa macam ayat apa entah. Apa yang aku ingin sampaikan, ialah semua yang di atas.

Hehehe... Salam kasih sayang!

Sunday 13 April 2014

Ramadhan Ini ~~~

Teks       : Cerpen Mengikut Bulan
Gambar  : Carian Google


Aku memandang perutku sambil mengusapnya perlahan. Aku terdiam seketika, tidak tahu apa yang hendak aku fikirkan. “Memang ada benda dalam perut aku ni”, bisikku antara dengar atau tidak.
Setelah siap melunaskan hajat, aku menapak keluar untuk menyambung kerja. Aku baru bekerja di sebuah klinik yang terletak bersebelahan dengan kawasan tempat tinggalku. Baru dua minggu.
“Abang…dalam perut ni adalah benih cinta kita..abang jangan abaikan Aina,” aku berbisik kecil, teringatkan kekasih hatiku. Di dalam hati ini tiada rasa yang timbul. Takut, marah, semuanya tiada.

Aku meneruskan hari-hariku seperti biasa, bekerja seperti biasa, bergaul bersama-sama teman seperti biasa, langsung tidak memikirkan apa yang akan dilakukan, apa yang bakal terjadi kepada diriku. Seperti tiada apa-apa yang berlaku. Aku hanya menunggu buah hatiku. Itu sahaja. Apa yang pasti, mereka di sekelilingku tidak menyedari bahawa perutku semakin membesar. Mungkin kerana saiz badanku yang kecil, dan mungkin kerana ini kandungan pertamaku. Mungkin, kerana aku pernah mendengar orang kata, kalau mengandung anak petama, biasanya seperti tidak mengandung. Entahlah, bergantung kepada orang, mungkin.  

Aku termenung sendiri. Esok, puasa akan aku teruskan seperti biasa. Tadi pun, aku pergi ke masjid untuk solat terawih bersama ibu. Ibu juga seperti biasa. Tidak mengesyaki apa-apa, sementelah diriku sendiri seperti tiada perubahan terutama pada perut. Walhal, aku sahaja yang tahu perutku berisi janin, benih cinta antara aku dan Hazril, yang aku sendiri tidak dapat mengagak berapa usia kandunganku itu.

“Aina jangan risau ye, sayang. Esok abang datang jumpa Aina,” Hazril memujuk di dalam telefon. Aku mencintainya setulus hatiku. Dengan dia, aku serahkan segala milikku tanpa ragu. Entahlah, aku pun tidak tau mengapa aku semudah itu memberi. Tidak terfikirkah aku akan ibu? Akan wali ku, ayah? Aku memang tidak tahu. Apa yang aku tahu, aku menurut sahaja kehendak Hazril.
            “Bulan Ramadhan, bulan yang berkat..
               Bulan rahmat, dan bulan utama...
                 Pahala digandakan, doa diterima..
                   Bulan Lailatul Qadar yang istimewa.......”

Aku bangun bersahur seperti biasa bersama ibu, ayah, dan adik kecilku, Nina. Terasa janinku menendang-nendang perutku. ‘Kau lapar ya, sayang,’ bisikku. Aku menjamah nasi berserta lauk yang terhidang, buat bekalanku seharian untuk berpuasa, juga buat si kecil di dalam rahimku.

Ramadhan kali ini, rasa hina buat diriku. Aku hina dengan diri aku sendiri. Kadang-kadang aku terfikir, mengapa tiada rasa bersalah menghantui diriku? Mengapa tiada rasa gusar melanda kalbuku? Aku memang tiada rasa apa-apa. Aku meneruskan kehidupan ini dengan satu perasaan, apa yang terjadi, akan, dan biarlah terjadi. Bodohkah aku?
‘Maafkan Aina, ibu..maafkan, Aina, ayah..apa pun yang bakal terjadi, tolong ampunkan Aina,’ bisik hati kecilku. Ya, memang benar. Itu bisikan tulus dari nuraniku.

“Sayang baby ayah ni, ayah datang nak buka puasa dengan anak ayah ni,” Hazril berkata sambil menundukkan kepalanya ke perutku. Terserlah kasih seorang ayah dalam dirinya di mataku.
“Aina sihat?” sambungnya. Aku hanya mengangguk.
Hari itu, aku berbuka puasa bersama kekasih hatiku. Dengannya, aku bahagia. Dia menyayangiku. Sungguh. Sehingga lewat malam aku bersamanya, menghantar pemergiannya pulang ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas. Dengannya, aku alpa, aku tidak mengendahkan kewajipanku terhadap Yang Maha Esa. Dia juga.

Aku meneruskan hari-hari seperti biasa. Bersahur di pagi hari bersama keluarga, pergi kerja seperti biasa, bertugas sebagai jururawat pelatih, pulang ke rumah usai tugas dihabiskan, berbuka puasa bersama keluarga sambil bercerita, sakat-menyakat dengan ibu, ayah, dan Nina. Semuanya seperti biasa.

“Raya nanti kita pulang ke kampung ibu dahulu, barulah pulang ke kampung ayah,” ibu bercerita.
“Ye ye! Dah nak raya! Ye ye! Boleh dapat banyak duit raya!” jerit Nina kegembiraan. Aku tersenyum melihat keletahnya. Kutenung Nina yang berusia 8 tahun itu. Kupandang wajah ibuku yang bersungguh-sungguh bercerita, diselang-seli dengan senyumannya. ‘Kasihan ibu,’ detik hatiku.
Kujeling sekilas ayah yang sedang duduk di meja, menguruskan soal zakat. Ayah seorang amil. ‘Ampunkan, Aina, ayah,’ hatiku sebak. Kala itu, timbul satu perasaan yang aku sendiri tidak dapat tafsirkan. Bagaimana nanti kalau semuanya sudah terbongkar? Bagaimana reaksi ayah nanti? Ayahku orang yang dikenali di kawasan kejirananku. Seorang yang dipandang tinggi. Bagaimana, Aina? Kau tak terfikirkah akan status ayahmu ketika melakukan benda terkutuk itu? Arghhh !! ‘Ini semua nafsu punya pasal!’ Aku mendengus kecil. Aku pasti, saat ini, syaitan sedang meraikan kemenangan menghasut anak-anak Adam ke lembah maksiat.
‘Jahanam kau, syaitan!’
Tapi mengapa syaitan pula yang aku salahkan? Aku yang lemah. Aku yang goyah dalam mengawal nafsu sendiri. Sedangkan ibu dan ayah telah memberikan aku didikan agama yang secukupnya. Aku yang terlalu mudah terpengaruh dengan godaan syaitan. Aku! Salah aku!

“Hazril, Aina tak tau nak buat apa sekarang ni. Sampai bila, Hazril?”
“Aina datang Kuala Lumpur, sayang. Abang tunggu Aina di Jalan Duta,” kata Hazril.
“Lepas tu?”
“Kita balik kampung. Abang dah beritahu mak abang tentang Aina,”
“Mak abang tak marah?”
“Tidak, sayang. Tiada siapa yang akan marah, Aina,” aku senyap. Emak Hazril tidak akan marah. Betulkah? Anaknya membuat aku mengandung sebelum ada ikatan yang halal, emaknya tidak marah? Betulkah?
Aku menurut sahaja. Aku perlu nekad.

17 Ramadhan, hari ini akan aku tinggalkan rumahku untuk bersama kekasihku, menempuhi apa yang bakal terjadi bersamanya. Aku terpaksa dalam rela. Takkan aku nak biarkan perutku membesar di depan ibu dan ayah. Perasaan takutku masih ada, makin bercambah hari demi hari. Mungkin perasaan itu sudah mula menjalar dan meresap di setiap sarafku. Huh! Baru kau tau, Aina! Baru nak rasa segala macam rasa setelah sekian lama kau melakukan onar!
“Bu, ayah, hari ni Aina tak balik tau. Aina nak temankan Jamilah untuk dua malam. Orang tua Jamilah tiada, out-station,” bohongku. Aku sedih. Aku sedih kerana terpaksa menipu kedua orang tua yang telah menjaga dan membesarkan aku selama ini.
“Jamilah? Siapa tu?”ayah bertanya.
“Kawan Aina kat klinik tu, ayah,” tipuku.
“Baik-baik. Kalau ada apa-apa, telefon rumah,” ibu menyambung. Aku hanya mengangguk.
Ibu dan ayah. Begitu tinggi kepercayaan kalian berdua terhadapku. Begitu mudah kau memberi keizinan terhadapku.
“Ampunkan, Aina, ibu, ayah!” bisikku. ‘Aina yang tidak menghargai ibu dan ayah! Aina mensia-siakan kepercayaan ibu dan ayah terhadap Aina!’ Hatiku bergetar. Kenapa aku sezalim ini terhadap ibu dan ayah? Aku sedih. Hatiku meruntun pilu sendirian.

Saat aku tiba di Perhentian Bas Jalan Duta, kelibat Hazril kelihatan bersandar di tepi dinding. Aku tersenyum. Dia memang menepati janji. Aku bahagia melihatnya menantikan kehadiranku.
Hazril menyambutku dengan senyuman manis. Aku menyalaminya, laksana seorang isteri menyalami seorang suami. Ikatan halal langsung belum terjalin, namun aku masih tega untuk melakukan dosa.
‘Ini semua bukan salah syaitan, ini semua nafsu yang kau sendiri pandu, Aina! Di mana imanmu? Aina, Aina.’ Aku bermonolog sendirian.

Aku duduk bersebelahan dengan Hazril di dalam bas yang sedang menuju ke Melaka. Masing-masing kelu untuk berkata. Telah beberapa kali aku ke rumah orang tua Hazril. Mereka telah mengenaliku. Cuma keluargaku sahaja yang tidak mengenali Hazril, sekaligus tidak tahu yang aku pernah ke rumah orang tua Hazril di Melaka. Sememangnya, aku ini pandai menyimpan rahsia, hanya kerana aku tahu ibu dan ayah akan mempercayai segala kata-kataku. ‘Kau anak yang tidak sedar dek untung, Aina!’ aku menyumpah diriku sendiri.
“Betul ke mak abang tak marah? Abang dah beritahu mak abang pasal kandungan ni?” aku memulakan bicara.
“Sudah, sayang. Mak yang suruh abang bawa Aina balik ke Melaka,” Hazril membalas sambil memandang perutku. Kami berdua sama-sama tersenyum.

Setibanya di rumah orang tua Hazril, aku lihat emak, ayah, dan adiknya sedang duduk menonton televisyen. Kami memberi salam, menyalami semua yang ada, dan duduk menyertai mereka menonton televisyen. Tiada apa-apa yang berlaku. Mereka kulihat seperti biasa. Berborak, bergelak ketawa bersama, bagai tiada apa. ‘Adakah mereka menyembunyikan perasaan sendiri,’ getarku. Entah, aku tidak tahu.

Malam itu selepas pulang dari masjid menunaikan solat terawih, aku duduk bersama-sama emak Hazril dan adiknya, Husna. Hazril tiada saat itu, entah ke mana. Emaknya menoleh ke arahku, merenung perutku. Aku gabra.
“Emak Aina tahu tak pasal ni?” dia memulakan bicara. Husna kulihat leka menonton televisyen sambil memakan kismis.
Aku menggelengkan kepala. Hati mula berdebar.
“Emak Aina tak pernah tanya ke, dah datang haid ke belum bulan ni? Takkan lah tak pernah tanya, tak pernah ambil tahu. Makcik sendiri setiap bulan tanya anak-anak makcik yang tak kahwin lagi ni ha, si Husna. Datang ke tidak, period,” emak Hazril kurasa semakin meninggikan suara. Aku tidak menjawab. Dia kulihat seperti ingin mengatakan yang ibuku tidak ambil berat langsung tentangku.
“Kenapa tak makan ubat yang Hazril bagi? Bila dah jadi macam ni, macam mana nak buat?” aku diam lagi. Hazril kata, emaknya tidak akan marah. Tapi kenapa dia memarahi aku ketika Hazril tiada? Mengapa tidak dihamburkan semua tika Hazril ada bersama?
Ya, Hazril memang ada memberiku ubat, sejenis pil. Aku tidak tahu ubat apa sebenarnya saat kali pertama Hazril memberikan kepadaku. Tapi kini aku pasti, ubat itu adalah pil perancang. Ibunya tahu itu! Ibunya tahu Hazril berikan aku pil perancang!

Keesokannya, aku dan Hazril keluar berdua, berjalan-jalan di sekitar Bandar Ayer Keroh. Hazril bagiku seorang yang penyayang. Manjagaku, menyayangiku sepenuh hati. Aku bahagia dengannya. Sungguh, aku benar-benar bahagia, justeru aku terlalu menyayanginya sehingga aku sanggup untuk berbuat apa sahaja mengikut kata-katanya.

Kami pulang ketika Asar. Hajat ingin membantu emak Hazril dalam menyediakan juadah untuk berbuka puasa. Nanti, apa pula kata emak Hazril kalau balik lewat petang.
“Telefon tu tak berhenti-henti berbunyi, Aina! Dari tadi telefon tu berdering setiap 5 minit. Pergi jawab panggilan tu, ibu Aina yang telefon,” sahut emak Hazril saat telefon rumahnya berdering minta diangkat.
“Makcik dah telefon ibu Aina, beritahu semuanya. Benda dah terjadi, sampai bila mahu disembunyikan,” sambungnya lagi.

“Aina! Aina anak ibu!” terdengar jeritan ibuku dicorong telefon. Aku hanya mendiamkan diri.
“Aina! Betul ke apa yang emak Hazril beritahu? Tak betul, bukan? Tidak, kan?” ibu terus menyoalku bertubi-tubi. Aku tetap kelu.
“Aina dengar tak apa yang ibu cakap ni, nak? Aina! Jawab, Aina!”
“…………..Betul, bu,” aku menjawab pendek.
“Ainaaaaa!! ………. Sampai hati kau, nak!!... Sudah berapa bulan, Aina?!” raungan ibu kedengaran berselang-seli dengan esakannya. Aku tetap aku, diam, tidak tahu mahu bereaksi bagaimana. Terasa bodoh sungguh diri aku ini. Menggeleng kepalaku sendiri sebagai jawapan tanda aku tidak tahu berapa usia kandunganku, sepertinya ibu nampak. Huh! Aina, Aina!

   “Isilah bulan ini, banyakkan amalan…
       Beribadah malam, siang berpuasa….
          Banyakkanlah sedekah, jangan dikira…
             Moga ia menjadi penebus dosa….”
   “Membaca Al-Quran, jangan dilupakan…
       Zikir dan tasbih, elok disertakan….
          Meriahkan Ramadhan, jangan mencacatkan…
             Agar Ramadhan, tidak sia-sia….”

Ramadhan ini tidak bererti bagiku. Aku sendiri mensia-siakan Ramadhan kali ini. Ramadhan yang acapkali sebelum ini aku penuhi dengan ibadah-ibadah wajib dan sunat, tapi Ramadhan tahun ini aku bagai bukan aku yang dulu. Memang. Aina pada Ramadhan tahun ini tidak seperti Aina yang sebelum. Aina yang kini diselubungi noda, onar yang tidak bertepi!

‘Ibu! Ayah! Ampunkan Aina! Ampunkan Aina!’ raungan pilu dalam hatiku diiringi air mata yang kali ini ikhlas mengalir, dek kerana sesalan yang menggunung mula menjalar di dalam hati.
 

Wednesday 9 April 2014

HIJRAH KASIH


Teks       : Ulasan Cerpen Hijrah Kasih
Gambar : Mr. Gadget

Hijrah Kasih mengisahkan perjalanan kehidupan dua orang sahabat sekampung yang bermula dengan ikatan sebagai sahabat karib dan berakhir dengan penyatuan dua jiwa antara mereka. Penyatuan mereka disebabkan keakraban sehingga menimbulkan wasangka dari kalangan mereka yang seolah-olah iri dengan kehidupan Dung.
t

Dung menganggap penyatuan di antara dia dan sahabat karibnya sebagai permulaan yang janggal, sementelah dia masih membahasakan diri suaminya sebagai Nyet, gelaran yang diberikan Dung sejak zaman persekolahan mereka. Waima Nyet sendiri masih memanggil Dung dengan nama yang sama ketika mereka berkawan dan  menganggap Dung sebagai adiknya sendiri.

Di satu sudut di dalam hati Nyet, perjalanan kehidupan yang dilalui bersama-sama Dung selepas mereka berkahwin telah menimbuljan bibit-bibit cinta, suatu rasa yang mana Nyet sendiri sedar akan kewujudan rasa itu. Kala Dung tiada di sisi, resah, gelisah, akan menghantui dirinya,  kerinduan terhadap isteri akan menjalar di segenap sanubarinya. Nyet tahu, itu adalah perasaan normal yang pasti akan terbit di antara suamiterhadap isteri. Namun, dia tidak tahu bagaimana ingin meluahkannya, sementelah dia sendiri tidak tahu bagaimana reaksi Dung jika dia meluahkan rasa tersebut.

Perjalanan kisah kasih antara Dung dan Nyet berakhir tanpa luahan rasa cinta antara mereka. Perasaan cinta Nyet terhadap Dung hanya diketahui oleh Dung melalui sepucuk surat yang  dititip oleh Nyet untuknya, sebelum Nyet ditimpa kecelakaan. Melalui surat itu, baru Dung tahu yang Nyet mencintai dirinya. Melalui surat itu juga, Dung terimbas kembali segala kata-kata, kelakuan yang Nyet serlahkan, hanyalah untuk memberitahu Dung bahawa suaminya mencintainya! Namun, telah terlewat untuk Dung menyedari semua itu. Tiada apa yang dapat dilakukan oleh Dung, hanya kiriman al-Fatihah untuk suaminya sabagai tanda cinta dari Dung untuk Nyet.

#touching!!

Tuesday 8 April 2014

Teduhan Kasih

Teks       : Teduhn Kasih (TV3)
Gambar  : Carian Google

Aku tak baca pun novel untuk drama ni. Tapi aku tau yang ia adalah adaptasi dari novel.

Drama ni memang best. Disokong pula oleh pelakon-pelakon yang memang mantap, terutama Nabila Huda. Memang sakit hati kalau tengok watak si Nabila Huda ni. Maksudnya, dia memang pandai membawakan sebarang watak la, kan! Semua menjadi!

Drama ni memang dah lama habis sirinya di TV3. Cuma, tulah, aku kan baru je ade blog sendiri. Niat nak komen tu memang dah lama, tapi blog baru je ada. He he he. So, perasaan nak komen tu tidaklah membuak-buak seperti masa aku mengikuti drama bersiri ni.

Cuma, yelah. Macam drama 'Menjinak Ombak', balasan kepada yang jahat ni selalu di episod yang last. Padahal dah terlalu banyak kejahatan dilakukan. Last-last, eksiden, pastu cacat atau gila. Itu je. Kadang aku nak tengok slot balasan kepada yang jahat ni di pertengahan episod ke, atau dalam dua hingga tiga episod, ok la. Yelah, penonton dah geram, bila tiba-tiba buat jahat dapat terus balasan, ha, kan baru puas tengok. Pastu, olah la balik penceritaan tu supaya dia boleh buat jahat balik.

Pandai je aku ni, eik!

Well, itu hanyalah pendapat peribadiku. Apapun, memang tahniah la kepada pengarah. Kalau nak ikutka,. baca dari novel biasanya lebih best daripada adaptasi drama. Tapi, oleh kerana aku tak baca pun novel ni, jadi aku rasa drama ni memang best dan sentiasa buat aku ternanti-nanti. Tahniah!

Plus, soundtrack drama ni memang meletop!


Monday 7 April 2014

Posseidon a.k.a Titanic

Teks       : Poseidon
Gambar  : Carian Google

Filem ni sangat thrill! Aku sangat suka!

Mula-mula tengok, terus minda akan teringat filem Titanic! Tapi nanti hati mesti terdetik, apesal cepat sangat kapal ni nak tenggelam?! Suami aku pun kata begitu!

Filem ni memang akan gam kaki dan punggung untuk terus duduk mengadap tv. Sangat mencabar! Hati akan dup dap dup dap setiap kali melihat mereka ingin menyelamatkan diri dari terus berserah untuk tenggelam bersama-sama kapal.

Filem ini memang puas kalau ditonton sehingga ke akhirnya.

Tapi, aku sebenarnya tak tengok sampai habis pun!! Esok pagi tanya suami dan anakku apa kesudahannya! Ha ha ha! Tapi, walaupun tak habis tengok, pun aku sudah merasakan filem ini memang thrill! Maksud aku, mendebarkan!

Best!

Saturday 5 April 2014

Menjinak Ombak

Teks       : Menjinak Ombak
Gambar  : Carian Google

Ha! Siapa mengikuti drama ini? He he he. Akulah salah seorang peminat drama bersiri ini!

Sebenarnya, tujuan aku cipta label ni, sebab aku memang suka bagi komen apabila menonton sesuatu cerita di tv. Bak kata suami aku tika aku asyik komen itu, ini, "jadilah pengarah sendiri"! Agaknya, dia malas nak dengar kot! Tapi, kadangkala die bersetuju juga dengan apa yang aku kata, dan ade sampai dia pun memberi idea lain berkenaan plot penceritaan itu.

Aku bukan nak meng'kondem' mana-mana cerita, label ini hanyalah pendapat peribadiku, ya!

Selalunya, aku akan beri ulasan/komen tentang pengakhiran episod cerita. Yelah, episod awal pastilah dah best! Sebab tu aku jadi penonton setia.

Dalam cerita ni, cuma yang tak berapa best ialah, yang jahat mesti dapat balasannya dalam episod teakhir je! Betul tak?! Rasa macam sekejap saja balasan yang diterima atas kejahatan yang dilakukan dalam beberapa episod. Aku rasa, bukan drama ni saja, kebanyakan drama macam tu lah ending nya. Macam, 'klise' gitu.

Cara penyatuan Firhad dengan ...(alah!lupa pulak nama Qistina dalam drama ni!)..pun terlalu singkat. Hanya diakhiri dengan tulisan paparan di skrin je. Hati dah berbunga cinta bila tengok, so, tunjukkanlah saat-saat manis lagi bahagia hingga ke akhirnya! Baru lah terbuai perasaan ni!

Apapun, itu semua hanyalah pendapat peribadiku. Bukan nak mengata atau apa ya! Aku cuma meluahkan apa yang aku rasa sebagai penonton!

Rindu Ini..

Teks       : Rindu nak ber'blog'ing
Gambar  : Carian Google

Lama betul rasanya aku tak buka blog aku sendiri..terasa diri ketinggalan dalam segala hal..

Terlalu banyak perkara yang perlu diutamakan terlebih dahulu dalam kerja seharianku. Di pejabat, aku seoolah-olah seperti telah di'mug' kerana tak abis-abis dengan lappy aku saat awal aku ade blog. Alah! Baru dua minggu lepas rasanya!

Yelah! Manakan tidak, hampir semua kerjaku tertangguh. Buat sikit-sikit, bila nak habis? Telefon acapkali berdering sampai aku rasa nak cabut wayar telefon! Mengganggu! Tapi nasib baik akal aku masih waras. Aku kan makan gaji, mana boleh buat macam tu demi kepentingan sendiri. Tak amanah!

Semuanya bergantung atas daya usahaku sendiri sebenarnya. Aku yang kena pandai membahagikan masa. Jangan la buat waktu kerja, kan?! Itulah..nak cari masa lapang kala berada di rumah, tu yang aku tak tau bila. Sementelah anak kecil masih menyusu badan. Kalau dia nak tidur, confirm aku pun tertidur sekali! Nak bangun tengah malam atau awal pagi? Hmm, itulah yang sedang aku usahakan.

Tugasan kelas ABDR banyak yang masih tertangguh. Syukur kerana Cikgu Monalita Mansor masih ingat akan aku, dan sentiasa beri dorongan. Alhamdulillh.

Minat dihati ini tidak pernah padam. Sedang mengimbangi segala hal, antara kerja, urusan rumahtangga, dan minat dalam kehidupan seharian. Semoga jalan keseimbangan yang dicari akan aku temui. InsyaAllah.

Salam kasih sayang.