Wednesday 28 May 2014

Aktiviti Bersama Keluarga @ MiG 2014

Teks          :       Aktiviti Bersama Keluarga & Rakan-Rakan Konvoi Amal MiG
Gambar     :       Muat Turun dari Handphone

Assalammualaikum w.b.t.

Aktiviti yang kami lakukan selepas menjalankan khidmat masyarakat di Rumah Anak Yatim SEKENDI, Sabak Bernam, sangat menyeronokkan! Tak pernah aku dan keluargaku buat pulak tu! Kiranya, pengalaman baru.

Usai program khidmat masyarakat tersebut, konvoi kami diteruskan menuju ke Homestay Sg. Haji Dorani, Sabak Bernam. Tidaklah jauh sangat dari rumah anak yatim itu, dalam 20km sahaja. 


Petang itu, aktiviti bebas untuk kami membersihkan diri, menyiapkan anak-anak, dan berehat sementara menunggu malam. Jadinya, aku dan anak-anak duduk sahaja di dalam bilik, mengemas apa yang patut. Lagipun, sewaktu kami tiba di homestay tersebut, hari memang sudah petang. Kira-kira dalam pukul 4.30 petang.

Selepas solat Maghrib, aku dan anak-anak serta suami, bergerak ke Rumah Angkat Haji Dorani. Di situlah segala aktiviti dijalankan. Makan malam, dan kemudian kami dihidangkan dengan persembahan kuda kepang. Kelas kauu!!


Aku memang sangat teruja untuk melihat persembahan kuda kepang. Memanglah aku ni asal dari Johor, tetapi jujur aku katakan yang aku tidak pernah melihat persembahan sebenar kuda kepang. Aku ada la dengar dan aku juga tau, yang kuda kepang ni ada kaitan dengan makhluk halus, takut kena sampuk la, atau lebih senang kata, naik sheh!

Memang best persembahan kuda kepang pada malam itu! Ia dimulakan dengan tarian biasa, lepas tu mereka mengajak penonton untuk menari bersama. Lepas tarian kuda kepang bersama penonton itu, ha!! Tarian kuda kepang yang sebenar dipersembahkan!

Kali ini, penari-penari hanya berpakaian biasa. Tidak seperti mula-mula persembahan, mereka memakai pakaian kebudayaan. Kali ini, mereka hanya memakai pakaian biasa, t-shirt dan jeans.

Memang benar, mereka bagai dirasuk. Dalam kira-kira 10 orang semuanya penari-penari ini. Mereka dijaga oleh seorang ketua yang aku rasa, pawang kot. Memegang cemeti yang dilibas sekali-sekala. Huh! Nak cerita pun macam tak pandai, kerana teringat saat menyaksikan persembahan tersebut, bagai tak terkata!

Namun, apa yang boleh aku gambarkan, persembahan tersebut memang awesome! Saat mereka bagai telah dirasuk, ada yang sampai panjat ke dinding, mengopek buah kelapa menggunakan mulut sahaja, dan memecahkan buah kelapa tersebut menggunakan kepala. Semua itu pertama kali bagi aku. Seronok dan teruja. Tetapi, dalam seronok-seronok itu, aku risau juga akan anakku yang paling kecil itu. Risau kalau dia nampak apa-apa. Yelah, budak kecil kan. Kita mana tahu apa yang dia boleh nampak. Lagi dua orang anakku pula, hmm, tak payah risau. Mereka khusyuk menonton persembahan kuda kepang itu. Tidak beralih tempat duduk pun.

Tapi, syukur. Anak kecilku itu dilayan oleh ayahnya bermain Pou di dalam handphone. Maka, ralitlah dia dengan handphone itu, tidak tengok sangat aksi-aksi penari kuda kepang itu, yang aku rasakan, menyeramkan juga. Hihihi.

Selepas tamat persembahan, kira-kira jam 11.00 malam, aktiviti berjalan mengelilingi sawah diteruskan. Pengalaman baru untuk kami! Dahlah aku ni memang teringin sangat berdiri di tengah-tengah sawah! Tapi, kami berjalan waktu malam. Tak dapatlah nak berdiri di tengah sawah untuk ambil gambar. Dah malam.

Objektif aktiviti berjalan mengelilingi sawah pada waktu malam, adalah untuk merasa hembusan bayu malam. Chewah! Hihihi.

Tapi, betul la. Memang nak bagi peluang untuk merasai kedamaian waktu malam di tepian sawah. Tapi, anak kecilku telah tidur di separuh perjalanan. Makanya, tak dapatlah aku nak menjiwai hembusan bayu malam akibat termengah-mengah mengendong si kecilku itu. Itupun, bertukar-tukar dengan suamiku. Yang anakkku lagi dua orang itu pula, mereka yang paling hadapan. Entah mereka menjiwai atau tidak, aku tak pasti. Apa yang pasti, mereka kepenatan. Hahaha.

Apapun, aku yakin walaupun anakku yang sulung dan yang nombor dua itu tidak merasai atau menjiwai keheningan malam di tepian sawah, mungkin sebab mereka belum dewasa, belum nak ‘feel’ segala, tetapi mereka pasti akan teringat kembali apa yang telah mereka lakukan walau hanya berjalan de tepi sawah pada waktu malam. Walaupun secebis, tapi ia adalah memori.


Keesokan harinya, aktiviti diteruskan dengan sukaneka. Sukan tak sukan la. Acara kecil-kecilan sahaja tapi ada hadiah. Antara sukaneka yang dijalankan ialah, baling selipar untuk kategori kanak-kanak, dan untuk dewasa, 

bowling kelapa serta menjolok tebuan. Menjolok tebuan ni, bukan tebuan betul tau! Peserta diberi sebatang kayu, kemudian ditutup mata, dan perlu memukul bungkusan air yang diikat di tiang. Kerjasama antara pasukan diperlukan untuk menggerakkan peserta yang ditutup matanya.

Selepas sukaneka, mencanting batik pula. Lagi pengalaman baru buat aku dan keluarga! Di sini, kami mencurah idea dalam menunjukkan kreativiti masing-masing. Alah, bukan susah pun! Tinggal warna sahaja!



Seterusnya adalah aktiviti yang paling dinantikan oleh anak-anakku. Menggagau
ikan! Ikan yang perlu digagau ialah ikan keli. Sudah dibuang sengatnya, jangan risau. Anak-anakku sebenarnya konon-konon sahaja mencari ikan, padahal aku tahu, mereka lebih kepada nak bersuka-ria, berkubang dalam lumpur tu! Hahaha. Asalkan mereka bahagia, aku laaaaagiiii bahagia. Pengalaman baru juga tu! Suamiku juga turut serta. Aku yang
menggesa dia untuk turut serta. Dia tu, dahulu, kerja di laut menolong ayahnya. Jadi, aku saje je nak lihat kebolehan dia mencari ikan. Hihihi. Sudahnya, 4 ekor dapat digagau suamiku. Hihihi. Aku pula, dok di tepi sahaja mengendong si kecil. Panas waktu itu!

Apapun, aku bersyukur dan gembira kerana dapat memberikan anak-anakku suatu pengalaman yang serba baru buat mereka. Bermula dari acara berkonvoi, kemudian melakukan kerja-kerja amal khidmat masyarakat, menyaksikan persembahan kuda kepang, berjalan di tepi
sawah pada waktu malam, mencanting batik, sehingga ke aktiviti menggagau ikan. Semuanya tidak pernah dilakukan oleh kami sebelum ini. Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya, ada suatu pelajaran baru untuk mereka dalam mengenali dunia ini.

Hmm... Sampai sini sahaja buat waktu ini. Kalau korang rasa berminat dan ingin mencuba aktiviti-aktiviti yang aku ceritakan, cubalah ke sana! Seronok! Google je ‘Homestay Sg. Haji Dorani’, keluarlah segala maklumat! Sampai di sini dulu!

#Salam kasih sayang!








Sunday 25 May 2014

Program Amal MiG

Teks          :     Program Khidmat Masyarakat & MiG 2014
Gambar      :     Upload dari handset

Assalammualaikum w.b.t

Seronok, teruja, pengalaman baru yang menggembirakan!

Semua perasaan ada sepanjang program berlangsung. Bermula dari konvoi yang aku sertai, sehinggalan ke aktiviti terakhir, menggagau ikan! Semuanya pengalaman baru yang amat menyeronokkan!

Ok. Kami bermula dengan konvoi yang dimulakan dari pejabat tempat aku berkerja sehinggalah ke Rumah Anak Yatim SEKENDI, Sabak Bernam, Selangor Darul Ehsan.

Semasa memulakan perjalanan, belum apa-apa konvoi dah terpisah. Mana yang menghala ke Jalan Duta, mana yang ke arah Federal Highway. Aku pula, memang tahu kalau nak ke Sabak Bernam, mestilah melalui Jalan Duta. Tapi oleh kerana pertama kali berkonvoi, jadi aku ikut sahaja kereta di hadapanku yang bergerak ke arah Federal Highway. Suamiku tak habis-habis membebel, “bukan ikut jalan ni ke lebih senang,..bla..bla..bla...”. Yang aku pula, “Ni kan konvoi, bang..ikut je lah..,” masih mempertahankan kereta di hadapanku itu. Rupanya...........Hihihi.

Sudahnya, beberapa buah kereta yang bertindak sebagai ‘marshall’ walaupun tidak diiktiraf, berjaya mengumpulkan semua kereta-kereta yang berkonvoi. Tak silap aku, ada 20 buah kereta tidak termasuk ‘marshall’ tersebut.

Sepanjang perjalanan, amat menyeronokkan. Konvoi lah katakan. Pertama kali buatku dan anak-anak. Mereka sangat teruja melihat kereta-kereta konvoi yang akan berkumpul di satu-satu tempat untuk memastikan tiada siapa tertinggal.

Tiba di destinasi, tugas diteruskan dengan melakukan khidmat masyarakat. Kebetulan, kami berkongsi waktu yang sama dengan Bank Muamalat dan beberapa pelajar Uniten dalam melakukan gotong-royong membersih dan menceriakan kawasan rumah anak yatim itu. Sayu hati melihat mereka. Mungkin, naluri keibuan kot, yang membuatkan aku mudah tersentuh saat berbual bersama seorang anak yatim di rumah itu.


Walaupun kami menerima banyak sumbangan dari pihak luar sebelum hari kejadian, tetapi sewaktu menjalankan gotong-royong, masih ada lagi keperluan yang tidak mencukupi, yang baru disedari ketika melakukan aktiviti tersebut. Contohnya, gayung untuk mandi dan tali hos. Dalam banyak-banyak tandas yang ada, banyak tak banyaklah, hanya ada 4 sahaja tandas di situ, cuma satu sahaja yang boleh digunakan. Bukan kerana rosak, tetapi itulah! Tiada gayung atau tali hos air. Namun, atas usaha semua, duit berjaya dikumpulkan dan dapatlah membeli keperluan-keperluan tersebut.


Waktu makan tengahari, kami belanja budak-budak di rumah anak yatim itu makan KFC. Memang sebelum hari kejadian, kami ada bertanya mereka, selalu tak dapat makan KFC. Kata mereka, dalam dua bulan pun jarang dapat makan KFC.


Disebabkan itu, kami mengambil inisiatif untuk membelanja mereka makan KFC. Budak-budaklah katakan. “Nak ambil lagi satu, boleh tak?” Hihihi. Kasihan mereka. Kita ini sepatutnya bersyukur sangat kerana diberi peluang untuk hidup lebih baik dari anak-anak itu. Sering aku ingatkan anak-anakku 

sewaktu berada di rumah anak yatim itu, melihat 
bagaimana keadaan mereka yang tidak berkeluarga.
 Biar anak-anakku insaf, dan menyedari bahawa
 mereka lebih beruntung. Harap-harap, anak-anakku
 merasai apa yang aku harapkan mereka rasa. 
InsyaAllah.

Ok lah. Setakat ini sahaja dahulu. Next time, aku akan bercerita pasal aktiviti selepas Program Khidmat Masyarakat di Rumah Anak Yatim SEKENDI. Lagi seronok tau! Adventurous!!


#Salam kasih sayang!

Saturday 24 May 2014

Anak Oh Anak!

Teks          :       Anak oh anak!
Gambar    :       Muat Turun Handphone

Assalammualaikum w.b.t

Waaa!! Lame betul blogku ini dibiarkan sepi oleh aku sendiri! Oh! Tidak!!!

Hihihi. Itulah aku. Dalam meniti kehidupan seharian, otak dan minda ini sentiasa teringatkan blog yang aku rasa sudah lama tidak dikemaskini. Sentiasa! Tak pernah tidak aku memikirkan apa yang aku nak luahkan, nak tulis, di blog sendiri. Tapi, itulah!

Kadang-kadang, aku rasa macam nak berjaga malam menghadap lappy sendirian. Bukan apa, bila aku mula nak membuat kerja ini (update blog), masa itulah juga anak aku yang kecil tu nak mengendeng sama! Dan kalau dah dia pun sama nak buat kerja menggunakan lappy, memang aku tak dapat buat la jawabnya. Melayan dia saja, bertanya itu, tekan ini, dan macam-macam lagilah!

Kalau nak berjaga malam, memang tidaklah. Hihihi. Nak itu memang nak, tapi.....I know myself. Chewah!

Sekarang ni, aku mengambil pendekatan, kalau ada masa terluang di ofis, akan aku gunakan untuk mencurahkan apa yang ada di fikiran. Walaupun sedikit, aku coretkan juga. Lepas tu, aku simpan. Selalunya, aku akan berangan untuk memasukkan coretanku itu ke dalam blog pada waktu malam, usai semua kerja dilakukan. Tetapi, itulah dia! Si kecilku itu budak baru nak belajar! Baru dua tahun lapan bulan! Siang sudah ditinggalkan di rumah pengasuh, malam la masa untuk dia bermanja dengan kita! Haiii la si kecil!



Namun, apapun cabaran yang datang seperti ini, aku terima dengan hati yang rela. Tambahan pula, aku dikelilingi oleh sahabat-sahabat maya yang tak pernah melupakan aku, memberi semangat dan dorongan untuk aku teruskan penulisan, walaupun mereka tahu yang aku ni paling lambat! Mereka langsung tidak jemu, terutama my Sifu! Subhanaallah! Aku bersyukur, walaupun aku ni lambat nak siapkan tugasan, entri, tetapi aku tahu, cikgu dan kawan-kawan di alam mayaku langsung tidak membelakangkan aku biarpun mereka telah jauh ke hadapan. Syukur yang tidak terhingga kerana aku peroleh cikgu dan sahabat sedemikian.

Ok! Lepas ni, aku akan ceritakan pengalaman aku membuat kerja amal. Nantikan esok!

#Salam kasih sayang!


Sunday 11 May 2014

KHIDMAT MASYARAKAT

Teks          :       Program Khidmat Masyarakat
Gambar    :       Carian Google

Assalammualaikum w.b.t.........

Aku mengharapkan kalian semua di dalam keadaan yang sihat. InsyaAllah.

Diam tak diam, sekarang dah bulan Rejab dah. Lepas tu Sya'aban, lepas tu Ramadhan. Sungguh pantas masa meninggalkan kita. Dalam bulan Rejab ni, kita digalakkan berpuasa. Alhamdulillah, setakat ni, Isnin dan Khamis dalam bulan Rejab belum aku tinggalkan untuk berpuasa pada hari tersbut. Alhamdulillah, perubahan yang perlahan, tetapi dengan kerelaanku sendiri. Semoga aku dapat meneruskan niatku untuk rajin berpuasa pada hari Isnin dan Khamis. Mudah-mudahan.

Lagipun, dengan berpuasa juga dapat mengawal nafsu makan. Tidaklah asyik memikirkan, tengahari nanti nak makan apa, apa yang boleh dikunyah, ketika waktu bekerja. Malah, aku boleh fokus untuk meneruskan kerja.

Pada 17hb Mei 2014 yang akan datang, Kelab Kebajikan di pejabatku akan menganjurkan satu Program Khidmat Masyarakat di Rumah Anak Yatim, SEKENDI, Sabak Bernam, Selangor. Aku akan turut serta juga. InsyaAllah.

Aku tidak pernah menyertai program sebegini sebelum ini. Jadi, ini adalah pengalaman pertamaku. Program ini dikendalikan di bawah Unit HEM sebenarnya. Mereka membawa bersama murid-murid yang di bawah pemantauan HEM untuk bersama-sama menyertai program khidmat masyarakat ini. Untuk mendedahkan mereka kepada suasana persekitaran dan kehidupan anak-anak yatim. Supaya mereka sedar, mereka lebih beruntung sebenarnya. Aku rasa la. Hihihi.

Program ini akan dijalankan secara berkonvoi sewaktu memulakan perjalanan di sana. Konvoi juga merupakan pengalaman baru bagiku. Marshall dari Bahagian Trafik PDRM juga telah dimaklumkan dan mereka akan mengiringi konvoi kami nanti. Bunyi macam dahsyat, kan? Aku teruja sebenarnya.

Aku akan membawa keluargaku bersama. Ingin mendedahkan suasana sebegini kepada anak-anakku. Melihat kehiduan anak-anak yatim, moga-moga terccuit satu rasa di hati mereka.

Ok lah. Nanti selepas program itu sudah berlangsung, aku akan ceritakan lagi pengalaman di sana pula, ya!
Sampai sini sahaja buat masa ini.

#Salam kasih sayang!

Friday 9 May 2014

HATI INI, RASA INI ~~~


Teks          :       Perasaan ini ~~~~
Gambar     :       Carian Google

Kalau korang perasan, aku sering menggunakan perkataan ini, diakhir tajuk. Itulah yang sedang aku rasakan, saat aku menulis warkah sebegini. Mungkin, orang boleh kata, sedang 'feel'.

Ya. Saat ini, aku sedang merasakan ke'terharu'an yang amat sangat. Aku terharu sebab cikgu kelas yang sedang aku ikuti ni, masih membaca setiap coretanku. Walaupun aku ni jarang masuk kelas, dan banyak tugasan yang tidak aku siapkan. Tapi, cikgu aku tu masih tetap tidak jemu beri komen atas kesilapan penulisan untuk aku betulkan. Aku benar-benar terharu!

Inilah yang dinamakan guru yang benar-benar ingin membimbing anak muridnya! Aku sebagai murid pun, jadi malu kerana banyak tugasan yang aku tidak siapkan lagi. Apalah aku ni.......Hihihi.

Kalau dah memang mempunyai naluri seorang pembimbing, walau murid malas macam mana pun, tetap tidak jemu untuk melayan karenahnya. Cikgu Monalita Mansor, terima kasih banyak ya, cikgu! Walaupun kita di dalam kelas di alam maya, tapi saya tetap merasakan saya seorang student, dan cikgu sebenar-benar guru. Malu, banyak tugasan tak siap! Rakan sekelas lain, siap ber'along,angah,adik' menghasilkan satu rantaian cerita yang pasti mantop! Tapi, saya....Hihihi..

Apapun, aku suka berada bersama-sama dalam kelas ini. Walaupun semua tugasan terpulang kepada kita untuk menyiapkannya, tapi aku tetap tidak malu untuk merasakan aku sebahagian daripada mereka.

Bersempena Hari Guru yang bakal menjelma tidak lama lagi, aku ucapkan 'Selamat Hari Guru' untuk semua guru di Malaysia. Termasuklah guru aku di alam maya, Cikgu Monalita Mansor. Semoga Allah S.W.T memberkati kehidupan cikgu, dan hanya Dia lah sahaja yang dapat membalas segala kebaikan yang telah cikgu lakukan. InsyaAllah.

#Selamat Hari Guru# dan
#Salam kasih sayang!

Wednesday 7 May 2014

Permulaan Bisnes

Teks       :     PERMULAAN BISNES, SATU PERCUBAAN
Gambar  :     Carian Google

Assalamualaikum w.b.t.......

Kalau korang perasan, blog aku ni dah kutambah dengan pages yang berunsurkan bisnes dari semasa ke semasa.. Bukan apa, aku hanya menggunakan medium yang sedia ada untuk meluaskan sebarang produk yang aku cuba jual. Tapi, itu semua terpulang. Jikalau ada rezeki aku, insyaAllah, takkan ke mana.

Hidup mesti berani untuk mencuba. Walaupun produk yang aku jual bukan
hasil tanganku sendiri, namun aku tetap perlu mencuba demi untuk meningkatkan
taraf kehidupanku. Bukan untuk sesiapa, tetapi untuk keluargaku sendiri juga.

Ah! Ini cuma permulaan sahaja. Belum jadi apa-apa pun. Cumanya, aku harus
kuat dan tabah, pandai menyeimbangkan masa, mana untuk kerja, untuk keluarga, dan untuk minat. InsyaAllah, yakin boleh.

Saat ini, catuan air telah diberhentikan. Tapi khabarnya juga, hanya untuk seketika. Catuan akan dilanjutkan semula dalam bulan Jun nanti. Hmmm, sabar sahajalah dengan keadaan sekarang ni. Sementara masih ada air, buatlah stok simpanan untuk masa-masa akan datang nanti.

Esok hari Isnin. Orang kata, dan aku sendiri pernah gunakannya untuk tajuk teks, "Monday Blues". Tapi sekarang nih, aku takdelah blues sangat kalau hari Isnin. Semangat untuk bekerja tu sentiasa ada. Maklumlah, kerja banyak dan tak siap-siap. Hihihi.

Oklah, harap pada yang membaca, sudi-sudikanlah menjenguk barang seminit dua, apa yang ada diblogku ini. Moga-moga ada yang boleh membawa manfaat kepada semua. InsyaAllah.

#Salam kasih sayang.

Monday 5 May 2014

Aku dan Diet

                                                

Teks        :   Aku dan Diet
Gambar  :   Carian Google

Assalammualaikum, semua…….

Lama sudah rasanya aku tidak meng’update’ blogku. Hihihi. Macam manalah nak jadi blogger berjaya kalau sekejap ada sekejap tiada. Apapun, aku berharap walaupun aku jarang ber’blogging’, namun masih ada yang menjenguk-jenguk nukilanku. InsyaAllah.

Aku nak bercerita pasal kehidupan aku dua minggu kebelakangan ini. Ya! Semestinya ada kaitan dengan tajuk kali ini, diet!

Aku seorang perempuan yang agak gempal. Semenjak aku bersekolah, badanku memang ala-ala ‘plump’ gitu. Sebenarnya, aku kurus tau, dulu. Tapi, ketika aku darjah 5 (SK Ulu Tiram, JB), aku pernah kemalangan jalan raya ketika pulang dari sekolah. Huh! Semenjak itu, badan aku seperti di pam, naik selalu.

Sampailah sekarang ni. Namun, sejak dua minggu lepas, hatiku seakan-akan telah tergerak untuk diet. Yelah, sudah bertahun-tahun aku nak diet, cakap dengan diri sendiri, turunkan berat badan untuk kesihatan, tapi, makan tetap makan juga. Apa yang aku suka, aku bedal.

So, bila hati ini memang dah tergerak untuk diet dengan semangatnya, aku pun diet lah sejak dua minggu yang lepas. Aku berkenan dengan cara diet Atkins, tapi sebelum diet Atkins ni keluar suratkhabar ya! Aku memang telah mengikuti kelab diet ini di laman FB. Itupun kerana aku melihat kawan sekerjaku yang mengamalkan diet ini, memang kuruslah.

Selak punya selak fail-fail di dalam FB kelab ini, aku pun nekad untuk turut serta dalam rancangan diet Atkins nih! Maksud aku, sendiri monitor lah. Bukan susah pun, elakkan makan makanan karbohidrat dan gula. Itu sahaja. Tetapkan pengambilan makanan berkarbohidrat ini 20g sahaja sehari. Gula, memang off terus.

Tapi, aku masih lagi aku walaupun aku rasa lebih baik dari dulu. Nasi, roti, bihun, mee, semua tu memang aku dah tak ambil langsung. Off terus nasi. Alhamdulillah, mungkin memang sudah tiba masa untuk aku diet, sebab aku memang tidak teringin pun nak jamah nasi, walaupun aku masakkan untuk suami dan anak-anakku. Tapi, ada juga la cheat dari segi yang lain. Gula tu, kadang-kadang terambil juga. Kuih pun, kadang-kadang kalau teringin sangat, aku makan juga. Hihihi.

Setakat dua minggu ni, berat badan aku telah hilang 2kg. Syukurlah juga, walaupun tidak sebanyak mana, namun aku berjaya juga turunkan berat badanku. Perlahan-lahan, asalkan niatku untuk turunkan berat badan demi kesihatan untuk jangka masa panjang. Insya Allah.

Ok, itu sahaja buat masa ini. Lain kali, aku cerita lagi lebih panjang pasal diet Atkins nih!

#Salam kasih sayang!