Tuesday 21 October 2014

NENEK MENANGKAP PENCURI

Teks          :       Azaliza binti Salmin
Foto          :       Carian Google

            Pada zaman dahulu, di dalam sebuah kampung yang aman dan damai, tinggallah seorang nenek tua di dalam sebuah rumah yang kecil. Orang kampung memanggil nenek itu dengan panggilan Nek Com. Nek Com seorang yang sangat peramah dan mesra dengan sesiapa sahaja.
            Nek Com mempunyai satu tabiat yang tidak diketahui orang lain. Nek Com gemar memakan beras yang direndam semalaman. Sejak kebelakangan ini, Nek Com mendapati beras yang direndamnya sentiasa habis menjelang keesokan hari. Dia berasa sungguh pelik kerana dia hanya seorang diri di dalam rumah kecil itu. Lalu Nek Com nekad untuk memberitahu Tok Penghulu di kampung itu berkenaan beras rendamannya yang sentiasa habis sebelum sempat dia menanaknya.
            Keesokan harinya, Nek Com bersiap-siap untuk menuju ke rumah Tok Penghulu. Dia harus melalui sungai, hutan, dan sawah untuk sampai ke rumah Tok Penghulu. Sambil berjalan, Nek Com bernyanyi-nyanyi untuk menghiburkan hati.
            Nek Com tiba di sebatang anak sungai. Tiba-tiba, dia disapa dengan seekor ikan keli.


            “Nenek, nenek. Nenek hendak ke mana?” kata seekor ikan keli.
            “Nenek hendak ke rumah Tok Penghulu, cu. Ada orang selalu habiskan beras yang nenek rendam untuk nenek masak,” jawab Nek Com.
            “Iya ke, nek? Kasihan sungguh, nenek,” ikan keli itu menyambung kata. Nek Com hanya tersenyum. “Nenek, nenek. Nanti sewaktu nenek hendak pulang ke rumah nenek, jangan lupa untuk membawa saya bersama, ya nenek.”
            “Baiklah,cu,” Nek Com mengangguk lalu meneruskan perjalanan.
            Selepas merentasi anak sungai, Nek Com perlu melalui sebuah hutan. Dia berjalan perlahan-lahan dengan tongkatnya. Apabila tiba di sabatang pokok durian, Nek Com disapa pula oleh sebiji buah durian yang telah gugur.
            “Wahai nenek yang budiman, hendak ke mana pula gerangan nenek melalui hutan yang agak membahayakan ini?”
            “Nenek hendak pergi ke rumah Tok Penghulu,cu. Ada orang yang telah memakan beras yang nenek rendam semalaman. Nenek hendak Tok Penghulu tolong carikan siapa yang memakannya itu,” jawab Nek Com kepada buah durian itu.
            “Oh, begitu. Saya ingin ikut nenek balik ke rumah. Nanti sewaktu balik, nenek jangan lupa membawa saya bersama ya,” kata buah durian itu. Nek Com tersenyum sambil mengangguk.
            Nek Com meneruskan perjalanan. Dia menyusuri sebidang sawah yang sedang menguning padinya. Nek Com melepasi kawanan lembu yang sedang berkubang di tepi sawah. Seperti ikan keli dan buah durian, Nek Com ditegur oleh seekor lembu jantan yang kemudiannya meminta untuk dibawa pulang bersama ke rumah Nek Com.


            Matahari telah agak meninggi ketika Nek Com tiba di rumah Tok Penghulu. Tetapi, hampa sungguh rasa di hati Nek Com. Tok Penghulu tiada di rumah. Dia dan keluarganya keluar ke pekan. Nek Com pun pulang ke rumah dengan hati yang lara.
            Tiba-tiba, Nek Com terdengar satu suara memanggilnya. Suara itu datang dari bangsal bersebelahan rumah Tok Penghulu.
            “Oh, kau parang. Ada apa kau panggil nenek?” Tanya Nek Com sambil menghampiri parang yang terletak elok di para bangsal.
            “Nenek ada apa mencari Tok Penghulu?”
            “Nenek hendak minta tolong Tok Penghulu carikan siapakah orang yang selalu memakan beras yang nenek rendam semalaman. Hampa sungguh nenek apabila melihat tiada siapa di rumah Tok Penghulu,” jawab Nek Com hiba.
            “Nenek, bawalah saya pulang bersama nenek. Saya ingin mengikut nenek,” kata sebilah parang itu. Lalu, Nek Com membungkus parang itu di dalam kain dan membawanya bersama pulang menuju ke rumahnya. Sepanjang perjalanan pulang, Nek Com tidak lupa kepada lembu, buah durian, dan juga ikan keli yang meminta Nek Com untuk membawa mereka juga pulang bersama.
            Menjelang tengah malam, si pencuri masuk ke dalam rumah Nek Com dengan berhati-hati untuk tidak mengeluarkan sebarang bunyi. Dia berjalan perlahan-lahan ke meja di mana Nek Com meletakkan periuk berisi beras yang direndam. Si pencuri itu memasukkan tangannya seperti biasa ke dalam periuk itu untuk mengambil beras yang Nek Com rendam.
            Tiba-tiba!
            “Arghhh! Adui!” si pencuri itu menjerit kesakitan. Tangannya telah disengat ikan keli! Dia tidak dapat menahan kesakitannya lalu jatuh terduduk ke lantai. Malang sungguh si pencuri itu.
            “Sakitnya punggung aku!” si pencuri itu menjerit lagi sambil bingkas bangun apabila merasakan punggungnya perit terdudukkan buah durian. Dia tidak dapat menahan sakit bisa di jari akibat sengatan ikan keli, ditambah pula pedihnya punggung dek terdudukkan buah durian. Si pencuri itu cuba untuk melarikan diri, namun sewaktu melangkah ke luar pintu rumah Nek Com, kakinya tersadung pula parang yang diletakkan di tepi pintu rumah Nek Com. Darah mula merembes keluar dari kaki si pencuri itu.
            “Arghhhh!” si pencuri menjerit kesakitan. Malang bertimpa, akibat tersadung parang, si pencuri itu jatuh lalu mukanya tersembam di atas segumpal tahi lembu. Si pencuri sudah tidak berdaya lagi. Tangan yang bisa akibat sengatan ikan keli, punggung yang pedih akibat tusukan duri buah durian, kaki yang berdarah kerana tersadung parang, dan muka yang dipenuhi tahi lembu!
            Keesokan paginya, Nek Com amat terkejut sekali apabila melihat seorang lelaki sedang terbaring di hadapan rumahnya. Tahulah Nek Com kini bahawa lelaki itulah yang selalu memakan beras yang direndamnya. Nek Com sangat berterima kasih kepada ikan keli, buah durian, lembu, dan juga parang kerana menolongnya dalam mencari siapakah yang memakan beras rendamannya. Nek Com membawa si pencuri itu ke rumah Tok Penghulu untuk dihukum.
            Sejak hari itu, tiada lagi pencuri yang memakan beras rendaman Nek Com. Nek Com berasa sangat gembira.
           

No comments:

Post a Comment