Wednesday 23 April 2014

~~~ Ramadhan Ini (Part II) ~~~

Teks       :   Ramadhan Ini (Part II)
Gambar  :   Carian Google

Hari-hari seterusnya aku lalui seperti biasa di rumah ibu bapa Hazril. Namun, sayu dihati sentiasa menjalar disanubariku, mengenangkan tergamaknya aku sebagai seorang anak memperlakukan kedua ibu bapa yang paling aku sayangi sebegini rupa. Tapi, apa yang mampu aku lakukan?
            ‘Terlajak perahu boleh di undur, terlajak kata badan binasa’.
Aku memang sudah terlalu jauh terlajak, yang memang tidak boleh di undur kala ini. Apa yang ada di fikiranku, aku perlu melahirkan anak ini, barulah aku boleh rencanakan apa yang perlu aku lakukan untuk memperbaiki kehidupan ini yang kurasakan telah kucar-kacir angkara diriku sendiri.
            “Ya Allah, Kau tunjukkanlah jalan padaku,” aku merintih kesayuan.

Hidup bersama orang tua Hazril, aku rasa amat janggal sekali. Ibunya bagiku, seperti talam dua muka. Saat Hazril ada bersama, aku dilayannya seperti anak sendiri. Tapi, apabila Hazril pulang ke Kuala Lumpur untuk bekerja, dan aku sendirian di rumah orang tuanya, ada sahaja karenah ibunya yang bagiku, sangat menyakitkan. Dia seolah-olah selalu menyindir atas perbuatan keji yang telah aku lakukan. Padahal, anak lelakinya yang membuat aku jadi begini, bersama-samaku melakukan onar. Mengapa tidak dihamburkan kepada anak lelakinya juga? Aku jadi sedih. Inikah jalan yang perlu aku tempuhi, yang perlu aku lalui untuk 9 bulan sementara kandunganku ini membesar? Aku jadi rimas. Namun, untuk bertekak dengannya, belum lagi. Aku masih menjaga adabku terhadap orang yang lebih tua.

            “Aina, pulang ke rumah ibu,nak. Hal ini perlu diselesaikan cepat, sementara kandungan Aina belum terlalu nampak. Aina pulang ya,” rayu ibu. Hari tu, aku menerima panggilan daripada ibu yang amat kurindui. Sungguh, airmata ini tidak henti mengalir kala mendengar suara ibu di corong telefon.
            “Aina takut. Aina malu, ibu,” aku keesakan. Benar! Aku malu dengan ibu dan ayahku. Malu dengan apa yang telah aku lakukan.
            “Balik, nak. Tiada siapa akan marah. Tolonglah balik. Ibu dan ayah perlu selesaikan hal ini dengan ibu bapa Hazril,” rayu ibu lagi. Aku terdiam dalam esakan. Ya, perkara ini perlu diselesaikan. Aku harus memikirkan untuk diriku sendiri.

            “Hazril, tolong hantar Aina pulang,” pintaku.
            “Hmm..Aina hendak pulang? Tak takut ibu dan ayah Aina marah?” balas Hazril. Mengapa pula dia harus berfikiran seperti itu? Bukankah dia sudah tahu yang ibu dan ayahku telah mengetahui tentang perkara ini? Tidak terfikirkah Hazril yang perkara ini perlu diselesaikan secepat mungkin?
            “Hazril, perkara ni perlu diselesaikan kata ibu.”
            “Selesaikan macam mana?” tanya Hazril lagi. Kami berhubung melalui telefon setiap hari. Aku yang mendesaknya untuk menghubungiku saban waktu kerana aku bosan berseorangan di rumah orang tuanya.
            “Hazril, takkanlah nak biarkan kandungan Aina membesar tanpa status? Takkan nak biarkan Aina di rumah Hazril sepanjang masa? Mungkin, ibu ada perkara yang ingin dibincangkan bersama. Tolong hantar Aina pulang,” desahku. Hazril kudengar hanya mendengus kecil sebelum bersuara.
            “Baiklah. Hujung minggu ni abang balik,”
           
            “Benda sudah terjadi, nak marah pun tiada guna. Budak-budak mudalah katakan.”
            “Iya, memang benar tu, Pn. Rosnah. Tetapi, sepatutnya yang lelaki menjaga maruah si perempuan, kalau benarlah dia sayang dan ingin hidup bersamanya.”
            “Yang si perempuan juga sepatutnya tahu jaga diri sendiri! Mudah sangat menyerahkan segala-galanya! Orang tua tidak ajarkah?”
           
Dasss! Aku menjeling wajah ibu dan ayahku. Tergamak ibu Hazril berkata begitu kepada kedua orang tuaku. Kalau nak salahkan aku pun, janganlah sampai seolah-olah membela anak sendiri. Apa dia ingat anaknya tidak boleh dipersalahkan? Hatiku jadi membara melihat pertelingkahan kecil antara ibuku dan ibu Hazril, sementelah ayah hanya mendiamkan diri, menahan sabar, mungkin. Hazril disebelahku juga hanya mendiamkan diri. Hazril hanya datang ke rumahku bersama ibunya sahaja. Ayah Hazril tidak mahu ikut serta dengan alasan rumahku jauh. Itu katanya.
            Suasana hening seketika. Aku kasihan melihat ibuku. Dek kerana nafsu aku sendiri, ibu dan ayah terpaksa menerima tohmahan dari bakal besan mereka. Hati ini bagai disiat-siat melihatkan sikap ibu Hazril. Inikah sikap ibunya yang sebenar? Entah, aku tidak tahu. Aku memang tidak tahu, kerana sepanjang aku berkawan, bercinta dengan Hazril, aku akui memang pernah ke rumahnya. Tetapi, tidak terlalu kerap, dan ibunya ketika itu aku rasakan seperti ibu-ibu lain yang melayan kawan-kawan anaknya seperti biasa sahaja. Aku jadi keliru. Hati ini tidak dapat menggambarkan apa yang bermain di fikiran.

            “Macam inilah sahaja,” ayah bersuara tiba-tiba. “Usahlah kita bergaduh. Memang benar, benda sudah terjadi. Kedua-dua pihak bersalah, jangan kita saling menuding jari. Apapun yang telah terjadi, harus diselesaikan juga, tidak boleh dibiarkan begitu sahaja,” kulihat ayah berkata dengan tenangnya.
            “Akad nikah harus dijalankan secepat yang boleh. Kita uruskan seperti kita menguruskan sebuah perkahwinan, tiada beza, kerana itulah yang seharusnya berlaku sekarang...”
            “Merisik, bertunang, segala tu semua sudah tidak perlu lagi. Kalau itu semua pun nak dilangsungkan, makin membuncitlah perut tu,” ibu Hazril membidas kata-kata ayahku. Mata dan mulutnya terus memandang ke perutku. Aku rasa seperti dihina. Aku menoleh ke arah Hazril. Dia hanya membuat muka bersahaja. Aku tahu, dia juga mungkin tidak tahu mahu berkata atau berbuat apa.
            Ibuku tiba-tiba bangun dan berlalu ke dapur, membiarkan perbincangan itu diteruskan antara ayah dan ibu Hazril sahaja. Ibu sedih, telahku. Mungkin. Ya, ayah telah mendidik ibu menjadi sebaik-baik insan, untuk bersabar dengan sebarang kerenah manusia. Mungkin ibu ingin menahan diri dan bertengkar semula dengan ibu Hazril. Mungkin.
            “Ya, Puan Rosnah. Tidak perlu merisik dan bertunang. Kita akad nikah sahaja. Majlis perkahwinan di pihak perempuan juga akan dilangsungkan. Tak tahulah pula di pihak lelaki bagaimana,” ayah menjawab setenang mungkin. Ibu Hazril hanya mendesah sambil membetulkan tempat duduknya.
            “Cuma saya minta, akad nikah dijalankan di rumah pihak lelaki,” ayah menambah, sayu. Ibu Hazril kulihat tersenyum sumbing sambil mengangguk seadanya.
            Aku faham mengapa ayah ingin akad nikah diadakan di rumah Hazril. Ya, status ayah sebagai orang yang dikenali di kawasan kejirananku membuat ayah malu untuk menikahkan aku di sini, masih cuba untuk merahsiakan kehamilanku sekiranya akad nikah diadakan secara tergesa-gesa. Pasti jiran-jiranku akan bertanya, risik tiada, tunang tiada, tiba-tiba menikah. Tidakkah itu seolah-olah ingin memberitahu semua bahawa aku sudah mengandung! Aku akur, kerana aku yang bersalah.

            Dua hari Hazril dan ibunya berada di rumahku, bersahur dan berbuka bersama-sama kami. Sepanjang mereka berada di rumahku, hubungan yang ingin dijalinkan antara ibuku dan ibu Hazril begitu hambar kurasakan. Ibu Hazril dengan sikapnya, manakala ibuku tetap berusaha untuk melayan tetamunya itu sebaik mungkin. Aku hanya dapat berdoa agar ibuku dapat menerima Hazril dan keluarganya seadanya mereka, walaupun aku akui bahawa aku sendiri agak terkilan dengan sikap yang ditunjukkan oleh ibu Hazril.

            Usai perbincangan antara ayahku dan ibu Hazril dua hari lepas, kedua-dua belah pihak telah memutuskan untuk mengadakan majlis akad nikah di rumah orang tua Hazril di Melaka. Majlis kenduri kecil juga akan diadakan selepas akad nikah dijalankan, namun tiada majlis persandingan, itu kata ibu Hazril. Perkara yang berlaku katanya seperti terlalu tiba-tiba, dia tidak mahu menanggung risiko untuk mengadakan majlis persandingan secara tergesa-gesa. Cukuplah kenduri kecil menjemput saudara-mara dan jiran tetangga sahaja.
            Manakala di pihakku pula, majlis persandingan akan dilangsungkan seminggu selepas majlis akad nikah di rumah Hazril. Semua ini akan berlaku sebulan dari tarikh hari perbincangan itu. Itu permintaan ayahku, kerana dia tidak mahu melewat-lewatkan urusan akad nikah, sementelah aku asyik bersama Hazril sahaja, lebih baik dinikahkan terus daripada berterusan membuat dosa.

            Dalam masa sebulan sebelum tarikh akad nikahku, ibu bertindak sewajarnya, menempah baju pengantin untukku, katering untuk urusan makan minum sepanjang majlis berlangsung, mak andam, pelamin, hantaran, dan segala macam benda lagi selayaknya untuk mengadakan sebuah majlis persandingan. Aku membantu mana yang termampu, menurut segala kehendak ibu tanpa sebarang bantahan, kerana bagiku, asalkan apa yang ibu buat itu memang patut dilakukan untuk menyelamatkan nama baik keluargaku, aku akur. Aku tidak mahu cerewet memilih itu ini seperti benar-benar seorang dara ingin menamatkan zaman bujangnya. Kerana aku tahu, aku tidak layak untuk bertindak seperti itu. Jadinya, aku menurut sahaja apa yang difikirkan elok oleh ibuku.
            Sepanjang masa itu juga, aku tidak berhubung dengan Hazril. Itu permintaan ibu dan ayahku.
            “Bersabarlah, Aina. Kamu akan bersatu dalam masa sebulan sahaja lagi. Jadi ayah minta kamu agar bersabar sedikit sahaja lagi,” aku jadi malu yang teramat kala ayah meluahkan kata itu. Namun, aku akur dengan permintaan ayah. Hazril juga memahami.

            Sepanjang aku lalui masa-masa sebelum hari akad nikahku menjelma, aku berlagak seperti biasa shaja. Bermain bersama adikku, Nina, menjawab segala pertanyaan sahabatku ketika aku berkerja di klinik dahulu, walaupun amat payah untuk aku berbohong kerana aku tidak tahu mahu beri alasan bagaimana, yang mampu menutup segala perbuatanku. Aku hanya khabarkan kepada mereka, aku terpaksa berhenti serta-merta atas alasan sepupuku meminta aku menemaninya selama waktu dia berpantang. Ah! Lantak kau oranglah mahu percaya atau tidak!
            Namun hati ini tidak pasti sama ada gembira atau tidak, teruja ataupun tidak sabar untuk menjadi isteri Hazril. Bukankah ini yang aku mahukan? Setelah apa yang telah terjadi, aku seharusnya gembira kerana akan disatukan dengan kekasih hatiku. Aku akan dapat melalui hari-hari bersamanya, makan bersamanya, minum berdua, dan yang pasti tidur pun bukan berseorangan lagi. Bukan kah itu yang aku mahukan??!
            ‘Hentikan pernikahan ini, Aina! Kau sanggup bermentuakan orang seperti ibu Hazril itu? Hentikan, Aina! Hentikan! Nanti kelak kau yang merana!’ Syaitan berterus-terusan membakar hatiku dengan api dendam. Memaksaku untuk berada dalam jurang kebingungan yang paling dalam. Membuntukan fikiranku. Mengingatkan kembali segala sikap dengkel ibu Hazril terhadapku selama aku di rumahnya dan ketika pertelingkahan antara ibuku dan ibu Hazril. Syaitan tidak jemu-jemu menghasutku, membuat aku jadi nanar.

            ‘Astaghfirullahhal’azim,’ aku beristighar berulang-ulang kali. Tidak! Tidak mungkin aku akan mengulangi kesilapan yang akan memalukan kedua orang tuaku lagi. Kini, aku pasti, apa yang ibu dan ayah aturkan adalah yang terbaik untukku. Ya! Jahanam kau, syaitan! Tidak akan aku goyah lagi dengan hasutanmu!
           
Kini, aku harus bangkit menjadi insan yang bertaqwa. Aku perlu nekad untuk memperbaiki diri ini demi ibu dan ayahku. Aku harus kuat melawan segala dugaan dan godaan syaitan.
            Ibu! Ayah! Doakan Aina!

3 comments:

  1. semak penggunaan kata sendi 'di' - ada banyak kesalahan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Cikgu!!! Thank you sooo much for your attention to me, cikgu!! :-( :-( (Sebak nih!)..

      Delete
  2. sambungan please

    ReplyDelete