Tuesday 18 March 2014

Guru

Teks      : Guru Zaman Sekarang
Gambar : Carian Google

Dulu, guru amat disegani. Ada juga guru yang digeruni kerana ketegasannya dalam mendidik. Aku sendiri jenis yang takutkan guru. Tapi, aku sayang dan kagum dengan guru-guruku.

Tapi, itu dulu. Kita semua sedia maklum akan senario perguruan zaman sekarang. Aku bukanlah nak bercerita pasal apa yang guru dulu buat, yang guru sekarang tidak boleh buat.

Aku bekerja dalam bidang perguruan. Tapi, aku bukan guru tau! Cuma, tugasku ada la yang berkait rapat dengan guru-guru ni.

Ada guru yang tidak ambil endah dengan profesyen yang diceburi. Suka hati nak datang kerja, nak cuti sampai boleh diambil tindakan tatatertib. Masalahnya bukan pada guru itu, tapi yang nak membayar gaji mereka seandainya mereka layak terima gaji walaupun berani buat hal. Nak kira gaji mereka bukan senang! Kalau terkurang bayar, ok lah lagi. Tapi kalau terlebih bayar, huh! Nak minta mereka bayar semula tu, hadui, masalah!

Itu yang tidak komited dengan kerja. Bagi yang terlebih bijak pula, menyalahgunakan kuasa, terutama bila melibatkan wang. Betul! Ada yang berani tau! Dapat dikesan bile keluar laporan Audit. Tindakan untuk guru seperti ini, hanyalah 'pool'. Aku tak tau dalam bahasanya apa 'pool' ni, tetapi lebih kurang ditempatkan di jabatan pendidikan negeri, untuk pemantauan.

Memang lah benar, bukan dalam profesyen perguruan sahaja semua ni berlaku, aku akui itu. Cuma, yelah. Hari-hari aku mengadap masalah ini, aku jadi seperti kasihan pada mereka-mereka di luar sana yang memang ingin menjadi guru, tetapi tiada rezeki, dan rasa geram bagi yang dah memang guru, tetapi tidak menghargai profesyen yang sudah dimiliki.

Apapun, asalkan aku komited dengan kerjaku, sudah memadai. He he he.

Sunday 16 March 2014

e_Book Blog Asas Penulisan Kreatif

'Kalau ingin menuntut ilmu, kita perlu berguru. Kalau hanya berpandukan buku, ada kemungkinan kita akan bercakap sorang-sorang, umpama syok sendiri. Menuntut ilmu ni, perlu ada buku, dan lagi perlu ada guru.' Itu pendapatku.

Aku ini sebenarnya minat menulis. Tapi ia selalu hanya di minda. Alah, berangan lah, senang cerita. Tapi selepas aku memberanikan diri untuk menyertai Kelas Asas Penulisan Kreatif, wah! Terasa macam masuk ke sekolah semula. Dengan pelbagai tugasan yang seiring dengan minatku.

Ya, memang benar. Hasratku ingin bergerak seiring dengan kemajuan teknologi semasa. Justeru, menyertai kelas yang kusebut di atas merupakan langkah yang bijak. Di dalam kelas ini, aku diajar langkah demi langkah untuk membina blog sendiri, penjenamaan diri, dan yang paling pasti, bagaimana ingin menceburi bidang penulisan di alam maya. e_Book Blog Asas Penulisan Kreatif ini sememangnya kamus wajib yang perlu dimiliki oleh sesiapa yang ingin cuba menulis. Tidak kira sama ada anda seorang suri rumah sepenuh masa, atau pun wanita berkerjaya.

Bagi diri aku sendiri, e_book ini seperti buku panduan yang lengkap dengan segala informasi yang diperlukan dalam mempelajari kaedah untuk menulis atau menceburi bidang penulisan. Ia menerangkan secara terperinci bagaimana hendak memulakan cara penulisan di alam maya. Bermula daripada analisa sebelum membina url blog dan fan page, hinggalan kepada cara untuk menarik dan mengekalkan pembaca yang mana mereka ini adalah pelanggan kita.

Bagi diri aku yang merupakan seorang wanita berkerjaya, juga seorang suri rumahtangga, e_Book Blog Asas Penulisan Kreatif ini menjadi teman setia, teman rujukanku, dalam mengimbangi kerja seharian dengan minatku yang terpendam. Aku tidak mensasarkan hasratku tercapai dalam waktu yang singkat. Tetapi dengan adanya e_book ini, ia menjadi panduan dan motivasi buatku kerana di dalamnya juga terkandung cara-cara bagaimana aku ingin mensasarkan penulisanku.

Kesimpulan yang dapat kubuat di sini ialah, bagi mereka di luar sana yang tahu dan telah mempunyai blog sendiri, TETAPI tidak tahu bagaimana cara untuk mengembang dan mempromosikan potensi sedia ada, maka, e_Book Blog Asas Penulisan Kreatif inilah jawapannya.

"Renungkan dengan mata hati...
    Pasti terbuka kunci....."

Sekian, salam kasih sayang. Assalammualaikum.

Friday 14 March 2014

Salam Jumaat :-)

Diri ini memulakan hari dengan seribu harapan, moga keberkatan diperoleh sepanjang hari. InsyaAllah. Hmm...Memulakan tugas seperti biasa. Bangun pagi jam 5. Kemas rumah serba sedikit. Masak nasigoreng untuk anak-anak bersarapan sebelum ke sekolah. Pagi ini kawasan sekitar masih berjerebu. Tapi anak-anak masih juga ingin ke sekolah. Yang sulung darjah 5, masih ada satu kertas lagi untuk Ujian Formatif nya. Yang nombor dua pula, nak ke sekolaj kafa juga Tak mahu ke rumah pengasuh, bosan katanya. Padahal, adik yang kecil ada di rumah pengasuh. Hai, macam-macam ragam anak-anak ini. Apapun, mereka lah yang menceriakan hidupku. Di ofis pula, bacaan Yasin diteruskan seperti biasa. Doa dan harapan MH370 dijumpai tidak pernah putus. Moga Allah Ta'ala memudahkan segalanya. Amin. Hari ini perlu diteruskan. Macam-macam yang bermain di fikiran, terutama nk menyiapkan tugasan kelas. Hadui, kalau lah diri ini banyak duit. Ha ha ha. Nak ber'blog'ing menggunakan handset ni, aduhai, payah sungguh! Cabaran! He he, maksudku bukan apa, andai diri ini kaya, cepat dan pasti telah kubeli laptop kecil. Yelah, untuk memudahkan diri ini ber'blog'ing dan terus melakukan ape yang diminati menerusi kelas ini. Lagipun, memang hasratku ingin cuba menulis. He he he, sabarlah wahai diri ini. InsyaAllah, kalau ada rezeki, ada la. Ok! Setakat ini dulu buat pagi ini. Ya Allah! Permudahkanlah urusan ku pada hari ini, juga urusan mereka yang membaca coretan ini. Amin ya Rabbal Alamin.

Wednesday 12 March 2014

Entri Pengenalan

Salam ukhuwah pembuka kata buat semua.
Alhamdulillah, walaupun masih berdingkit-dingkit dan di dalam proses pembelajaran menguasai bidang penulisan di alam maya, terhasil juga blog mengenai diri ini.
Telah 12 tahun melayari bahtera rumahtangga. Dikurniakan seorang suami yang sentiasa menjadi peneman sepi, dan 3 orang putera yang mendamaikan jiwa.
Minat dalam bidang penulisan telah lama wujud dalam diri ini. Gemar menulis cerita pendek kala di bangku sekolah, tetapi hanya untuk tatapan sendiri. Minat terkubur begitu sahaja selepas menamatkan zaman bujang. Walau terkubur di dasar hati, namun ia tetap nyala bersinar menantikan saat peluang datang untuk diluahkan segala.
Diri ini hanyalah insan biasa. Tidak memiliki sebarang ijazah mahupun kepakaran dalam bidang tertentu. Tetapi, di sebalik diri ini, tersirat, tersimpan, seribu satu keinginan yang belum terluahkan di dalam mencapai cita-cita terpendam.
Sejajar dengan perkembangan teknologi semasa, diri ini cuba memberanikan hati untuk menggapai bintang di langit menerusi minat yang selama ini terpendam di lubuk hati.
Moga melaluinya, tak dapat tidak
walau secebis, tercapai jua hasrat yang selama ini terpendam. InsyaAllah.
Harapan setinggi gunung, secerah mentari, moga diri ini diterima di kalangan semua blogger dan pembaca.
Serendah hati yang tulus juga, tunjuk ajar, pengalaman, andai dapat dikongsi bersama, merupakan anugerah terindah dan bermakna buat diri ini.
Akhir kata, sudi-sudikanlah menjenguk barang seminit cuma, blog, hasil garapan tulus ikhlas dari diri ini. Salam kasih sayang. Assalammualaikum.